"Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]

Followers

Saturday, November 28, 2009

Aidil Adha 1430H

Aidiladha adalah satu hari perayaan agung yang membawa bersama mesej dan pengajaran. Antara pengajaran penting Aidil Adha ini adalah kesatuan umat. Walaupun umat Islam terdiri dari berbagai bangsa dan bahasa, warna kulit, budaya dan negara, ia adalah umat yang satu. Umat yang menyembah Tuhan yang satu.

Umat yang mengikut syariat Nabi yang satu iaitu Muhammad s. a. w. Umat yang mengadap satu Kiblat. Sujud kepada Tuhan yang satu. Umat yang bersatu menjalankan ibadah puasa di bulan Ramadan. Umat yang berkumpul di padang Arafah dan Mina untuk melakukan ibadah Haji di tempat yang satu. Sesungguhnya tiada umat lain di atas muka bumi ini yang mempunyai kesatuan dengan berpandukan syariat yang indah seperti ini.

Firman Allah s.w.t dalam surah Ali-Imran, ayat 103:


Bermaksud: "Dan hendaklah kamu berpegang-teguh dengan tali Allah (Agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai".


Sudah sewajarnya kita melahirkan rasa syukur kita kepada Allah s. w. t. dengan melaksanakan konsep ini, iaitu konsep kesatuan. Kita tidak mampu berpecah-belah. Kita tidak mampu membiarkan anasir fanatik terhadap sesuatu fahaman, mazhab atau pendapat, untuk memecah-belahkan kita. Kita tidak boleh membiarkan Syaitan membisikkan di telinga kita bahawa fahaman kita yang baik sedangkan fahaman atau pendapat saudara kita yang lain salah semuanya. Kita perlu bersatu untuk menjadi kuat, kerana denagan kekuatan umatnya sahajalah Islam akan tertegak kukuh di bumi Allah.


Sebenarnya, Aidil Adha juga membawa bersamanya mesej persamaan dan keadilan sejagat. Agama Islam adalah agama yang tidak memandang pada status seseorang, sama ada kaya atau miskin, cantik atau sebaliknya, pandai atau lemah. Semua manusia adalah sama pada pandangan Allah s. w. t. Hanya takwa sahaja yang membezakan antara seseorang dengan yang lain pada pandangan Allah.


Ini telah diingatkan oleh Allah s. w. t. di dalam surah Al-Hujurat, ayat 13:


Bermaksud: "Wahai manusia! Kami telah ciptakan kamu lelaki dan wanita, dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak agar kamu kenal-mengenal antara satu sama lain. Sesungguhnya yang paling mulia daripada kalangan kamu di sisi Allah adalah yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Mengenal".


Konsep kesamaan ini amat penting dalam Islam untuk mengelakkan perpecahan di kalangan umat.Ia terlalu penting sehinggakan Rasulullah s. a. w. mengingatkan umatnya ketika Baginda menyampaikan khutbah wada', atau khutbah perpisahan beliau di bumi Arafah 1400 tahun yang lalu.


Rasulullah bersabda dalam khutbah tersebut yang bermaksud: "Wahai manusia! Sesungguhnya Tuhan kamu adalah satu, dan sesungguhnya asal kamu adalah satu.Ketahuilah bahawa tidak ada kelebihan bagi orang Arab atas orang yang bukan Arab. Dan tiada juga kelebihan bagi orang bukan Arab atas orang Arab. Orang berkulit putih kemerahan juga tidak ada kelebihan atas orang orang yang berkulit hitam, dan begitu juga sebaliknya, kecuali dengan taqwa. Sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah adalah yang paling bertaqwa".


Aidiladha juga, mengingatkan kita tentang konsep pengorbanan seorang ayah bersama anaknya dalam melaksanakan perintah Allah s. w. t. Peristiwa Nabi Ibrahim a. s. diuji dengan perintah menyembelih anaknya Nabi Ismail a. s. Peristiwa pengorbanan ini dirakamkan oleh Allah s. w. t. di dalam surah As-Saffat, ayat 102 hingga 109. Antaranya Allah menyatakan:


Maksudnya: Maka tatkala anaknya itu sampai ke peringkat umur yang membolehkan dia berusahabersama-sama dengannya, Nabi ibrahim berkata: "wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi, bahawa aku akan menyembelehmu; maka fikirkanlah apa pendapat mu. Anaknya Ismail menjawab, wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insya Allah ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar".


Dari ayat-ayat tersebut Allah menceritakan, bagaimana keimanan yang tinggi yang dimiliki oleh Nabi Ibrahim a.s. dapat melaksanakan perintah Allah, sekalipun terpaksa mengorbankan jiwa anak kesayangannya Ismail a.s. Begitu juga kekuatan iman Nabi Ismail a.s. yang sedia menerima perintah sekalipun dirinya sebagai taruhan. Pengorbanan dan kesabaran seperti ini yang sepatutnya diterapkan dalam jiwa kita agar kita berjaya mengharungi segala ujian dan cabaran dalam kehidupan dunia ini, dalam kita melaksanakan segala perintah Allah s.w.t.


Jelasnya pengajaran yang dapat kita jadikan iktibar di sebalik Aidiladha ialah peri pentingnya menjaga kesatuan, perpaduan umah dalam masyarakat di samping kita memahami bahawa manusia itu adalah sama disisi Allah, yang membezakan mereka adalah sifat taqwa yang dimilikinya.

Untuk mencapai perpaduan ini perlu ada pengorbanan yang amat besar dari semua pihak serta kerjasama yang berterusan. Ini tidak akan tercapai melainkan dengan ilmu pengetahun yang mendalam dalam semua bidang kehidupan. Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar Walillahil Hamd.


Friday, November 20, 2009

Doa Seorang Pencinta


Ya Rabbi...
Jika cinta adalah ketertawanan
Maka tawanlah aku dengan cinta padaMu
Agar tiada lagi yang dapat menawanku
Selain cinta tulusku padaMu


Ya Rabbi...
Jika rindu adalah rasa sakit
Yang tidak menemukan muaranya
Penuhilah rasa sakitku
Dengan rindu padaMu
Dan jadikanlah kematianku
Sebagai muara pertemuan denganMu


Ya Rabbi...
Hatiku hanya cukup untuk satu cinta
Jika aku tidak mengisinya dengan cinta padaMu
Kemanakah wajahku hendak kusembunyikan dari Mu?

Thursday, November 12, 2009

3 GOLONGAN YANG DILAKNAT

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIIM...

Hari ini,
Ana terlihat sepotong hadis,
Hadis yang sangat berat...
Maknanyer begitu mendalam...
Bacalah dan hayatilah hadis ini...

Dari Abu Hurairah r.a. katanya, “Bersabda Rasulullah s.a.w.: Tiga macam orang bukan saja tidak akan mendapat layanan dan ampunan dari Allah pada hari kiamat, bahkan akan mendapat siksa yang pedih; iaitu si tua bangka yang berzina, raja atau kepala negara atau penguasa yang pendusta dan fakir yang sombong.” (Muslim)

Huraian:

  • Setiap perbuatan berdosa adalah dikira sebagai maksiat kepada Allah SWT.

  • Orang yang tidak pernah bertaubat daripada dosa yang pernah dilakukannya akan ditimpa laknat daripada Allah dan di akhirat kelak akan mendapat hukumannya.

  • Tiga golongan yang disebutkan di dalam hadith di atas melambangkan tentang besarnya kesalahan dan dosa yang dilakukan memandangkan perkara-perkara tersebut sewajarnya tidak berlaku pada orang-orang yang menggunakan akal fikiran dan benar-benar menyedari hakikat diri mereka.

  • Hanya orang yang keras hati dan mati jiwanya sahaja tidak takut akan kemurkaan Allah SWT dan tanpa mempedulikan kebenaran kewujudan hari pembalasan, mereka sanggup melakukan apa sahaja mengikut hasutan hawa nafsu sekalipun ia jelas perbuatan terkutuk dan terlarang dan sekalipun manusia sekeliling amat membenci dan mengutuknya.
WALLAHUA'LAM...

Monday, November 2, 2009

Sifat Sabar Menurut Cendekiawan Islam

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIIM...


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh…

sabar

SABAR adalah satu sifat manusia. Ia bererti menahan dan menanggung diri daripada perkara yang tidak disukai Allah kepada yang disukai atau menahan dan menanggung diri daripada yang disukai nafsu kepada yang disukai Allah. Berpandukan kepada pengertian itu, sabar adalah satu istilah yang mengandungi pelbagai makna dan nama.


Contohnya menahan diri di medan perang disebut berani (as-saja’ah), lawannya bacul (al-jubn), manakala menahan diri daripada suatu keinginan nafsu Arabnya disebut ‘dabtun nafs’ dan lawannya ‘al-batr’.


Sabar adalah senjata terpenting manusia, lebih-lebih lagi diri manusia sentiasa menghadapi pelbagai ujian. Dengan sifat ini membolehkan manusia mengatasi ujian dan mencapai kejayaan.


Banyak nas yang memerintah kita bersifat sabar, antaranya bermaksud: “Hai orang-orang beriman, bersabarlah dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap sedia (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung.” (Ali-Imran:200)


Cendekiawan membahagikan sifat sabar kepada beberapa jenis, iaitu:


1. Sabar terhadap kesusahan dan bala bencana yang menimpa pada manusia biasa, bahkan di kalangan nabi.

Antara yang dirumuskan al-Quran ialah sabar dalam bentuk ini termasuklah bersabar dengan kefakiran atau kelaparan, bersabar terhadap kesakitan, ketika peperangan dan ketakutan, kerana kehilangan wang, kehilangan jiwa dan harta benda.


2. Sabar terhadap keinginan nafsu yang menjadi urusan syaitan. Antaranya sabar atas tarikan dan runtunan nafsu yang rendah dan hina, termasuk bersabar dari menurut perasaan marah.


3. Sabar terhadap kemewahan. Ini termasuk bersabar terhadap kenikmatan orang lain, seperti orang kafir dan golongan taghut yang pada lahirnya nikmat tetapi pada batinnya adalah azab.


4. Sabar terhadap ketaatan yang sememangnya banyak halangan. Nafsu itu tabiatnya liar dan tidak suka kepada pengabdian, malah malas pula untuk melaksanakan amal ketaatan.


Kesabaran ini memerlukan tiga peringkat:

  • Sebelum dapat melaksanakan sesuatu ketaatan, perlulah memperbaiki niat dan ikhlas, sabar daripada riak yang merosakkan dan sabar untuk menguatkan keazaman.
  • Ketika mengerjakan ketaatan, hendaklah sentiasa berjaga dan berwaspada daripada faktor yang boleh melemahkannya.
  • Selepas mengerjakannya hendaklah bersifat sabar daripada melakukan suatu yang membatalkan amal ketaatannya.

5. Sabar terhadap kesusahan berdakwah ke jalan Allah. Dakwah ke jalan Allah adalah suatu usaha mulia dan suci. Ia adalah warisan daripada rasul dan nabi, mempunyai halangan dari musuh kebenaran dan kebaikan.

Harus diingat, dakwah kepada jalan Allah dan agama-Nya sangat bertentangan dengan keinginan dan hawa nafsu, dengan adat dan tradisi, keseronokan dan kerehatan, pangkat dan kedudukan, bahkan kekayaan dan kekuasaan.


Sumber : Harian Metro

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...