"Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]

Followers

Sunday, September 20, 2009

SALAM AIDILFITRI 1430


Buah pauh di tengah bendang
Jadi dagangan di tengah kota
Saudara jauh datang bertandang
Bermaaf-maafan sesama kita


Masak udang dan gulai ketam
Pembasuh mulut kuih keria
Berbunyi mercun berdentum-dentam
Riang gembira di Hari Raya


Sungai disusur sehari-hari
Dalam gelap menangkap ikan
Kami meyusun sepuluh jari
Salah dan silap harap maafkan


Aidilfitri hari kemaafan
Menghapus kesalahan sesama insan
Memupuk perpaduan sesama ehsan
Mengikat tali keakraban


Disisir diandam dengan cekap
Potong rambut pelbagai gaya
Puasa sebulan sudahlah lengkap
Kita menyambut Hari Raya


Adik tersayang segak bergaya
Mengait kuih di atas para
Suasana riang di Hari Raya
Bermaaf-maafan riang gembira



Pantun Lawak Hari Raya dan Pantun Aidilfitri :


Lapar puasa terketar-ketar
Bila berbuka lega rasanya
Kad raya tak sempat nak hantar
Kiriman MMS pun dah kira grand lah ye..!


Anak Dolah makan lepat
Makan lepat sambil melompat
Nak hantar kad raya dah tak sempat
Pakai MMS pun kira ok what?


Lemah lembut tuan puteri
Berkain cindai cantik dipandang
Meriah menyambut Aidilfitri
Sahabat handai datang bertandang


Udara dingin hening pagi
Tabuh bising mulakan hari
Aidilfitri menjelma lagi
Masing-masing pakai berseri




Tanpa mengira miskin kaya
Pangkat kedudukan hamba shaya
Sama-sama menyambut raya
Maaf-maafan dihari bahagia


Aidilfitri hari kemenangan
Kejayaan menempuh halangan
Mengenali erti kesenangan
Bagi mereka yang kekurangan


Aidilfitri hari kemaafan
Menghapus kesalahan sesama insan
Memupuk perpaduan sesama ehsan
Mengikat tali keakrapan


Cincin disarung hati berdebar
Jarinan lembut wajah terhias
Ramadan disambut penuh sabar
Aidilfitri disambut dengan meriah


Saidina Affan menyusun kata
Tutur peri yang aulia
Maaf-bermaafan sesama kita
Di Aidilfitri yang sangat mulia





Wednesday, September 16, 2009

8 AKIBAT MAKSIAT!!!

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIIM...


Di dalam kitabnya, al-Jawabul Kafi li man sa`ala ‘an adwaa` asy-Syafi, Imam Ibnul Qayyim al-Jauziyah menyebut, “Perbuatan maksiat berakibat buruk dan berbahaya bagi kehidupan dunia mahupun akhirat.”

Kemudian beliau menyenaraikan beberapa akibat yang ditimbulkan oleh perbuatan maksiat. Di sini saya bawakan beberapa di antaranya:

1. Terhalang dari ilmu yang sedang dipelajari.

Kerana ilmu adalah cahaya. Imam Malik pernah berpesan kepada Imam Syafi’e, “Sunguh, aku melihat bahawa ALLAH telah mengurniakan cahaya di hatimu. Maka janganlah engkau padamkan cahaya itu dengan kelamnya perbuatan maksiat.

Kendati demikian, tidak dinafikan kadang-kadang pelaku maksiat adalah dari kalangan mereka yang terpelajar. Malah saya pernah mendengar satu kes (dari sekian kes yang sering terjadi) yang berlaku di sebuah IPT tempatan, seorang pelajar dibuang dari pengajian kerana terbongkar bahawa dia pernah melakukan zina, malah ‘mengabadikan’ perbuatan tersebut dalam telefon bimbit miliknya! Sedangkan dia adalah penerima anugerah dekan untuk 5 semester berturut-turut! (Subhanallah, Astaghfirullah. Ketika maksiat zina telah berleluasa, itu adalah musibah yang ALLAH timpakan, sebagai peringatan!)

Jadi bagaimana seseorang boleh sebegitu bijak sedangkan dia melakukan maksiat yang berat kepada ALLAH?

Itu hanya kurniaan ALLAH di dunia. Maksiat yang dilakukan tetap menghalang keberkahan ilmu yang dipelajari. Kendati dia memahami dan menghafal setiap bait pelajaran tersebut, namun belum tentu dia mampu untuk mengamalkannya. Di situlah letaknya barakah dalam belajar; kemampuan untuk melaksanakan dan istiqamah atas kebenaran.

Sebelum inipun kita pernah digemparkan dengan fatwa-fatwa menyesatkan yang dikeluarkan oleh PhD holder dalam bidang agama! Antaranya ialah keharusan melacurkan diri akibat desakan hidup, dan juga keharusan meninggalkan solat ketika dalam usaha mengharumkan nama Negara. Sekali lagi, istighfar meniti di bibir…

Di dalam al-Quran, ALLAH pernah menceritakan tentang segolongan bijak pandai yang bangga dengan ilmu yang ada pada mereka sehingga sanggup menolak ajakan para Nabi untuk beriman;

Maka ketika para Rasul datang kepada mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata, mereka merasa senang dengan ilmu yang ada pada mereka (merasa cukup dan kemudian meremehkan ajakan para Rasul), dan mereka dikepung oleh (azab) yang dahulu mereka mengolok-olokkannya. (surah al-Mukmin; 40:83)

Kerana maksiat menghalang barakah ilmu sampai kepada mereka. Apa yang ada pada mereka hanya semata-mata pengetahuan, sedangkan ilmu yang barakah sepatutnya dapat membawa seseorang takutkan ALLAH;

Diantara hamba-hamba ALLAH yang takut kepada NYA hanyalah para ulama. (surah Fathir; 35:28)

2. Terhalang dari rezeki yang ia usahakan dan sering menemui kesulitan dalam urusan hidup

Rasulullah bersabda;

Sesungguhnya seorang hamba terhalang dari rezeki kerana dosa yang diperbuatnya. (HR Ahmad)

Ia adalah kebalikan dari janji ALLAH terhadap golongan yang bertaqwa;

Barangsiapa bertaqwa kepada ALLAH, maka DIA akan membukakan jalan keluar baginya. Dan DIA memberikan rezeki dari arah yang tidak dia sangka, dan barangsiapa bertawakkal kepada ALLAH, nescaya DIA mencukupkan (keperluan)nya. (surah at-Tolaq; 65:2-3).

3. Merasa gundah dan kerisauan hati

Juga mengakibatkan hilangnya kelazatan dalam beribadah, wal ‘iyadzu billah. Walaupun nikmat dunia melimpah di sisinya, namun tidak dapat menghilangkan kegundahan dan kerisauan hati yang diakibatkan oleh maksiat.

Malah baginda Nabi juga pernah menunjukkan hal ini dalam sebuah hadith baginda;

Dari Wabishah bin Ma’bad radhiallahu ‘anhu, telah berkata, Aku mendatangi Rasulullah, lalu baginda bertanya, “Engkau datang untuk bertanya tentang kebaikan?”

Aku menjawab, “Benar.” Maka baginda bersabda, “Tanya fatwa dari hatimu. Kebaikan ialah perkara yang menenangkan jiwa dan hati kepadanya. Sedang dosa ialah perkara yang menggangu jiwa dan menyempitkan dada, kendati manusia telah memberikan fatwa kepadamu dan terus menfatwakannya kepadamu.” (hadith hasan, riwayat Ahmad dan ad-Darimi).

Tapi tentu hati yang diminta fatwa itu ialah hati yang sentiasa memelihara imannya kepada ALLAH, bukan hati yang telah lama berkarat.

Semoga ALLAH menjauhkan kita dari kegundahan hati akibat perbuatan maksiat ini.

4. Terjadi ketidakharmonisan antara pelaku maksiat dengan orang yang disekitarnya, lebih-lebih dengan orang yang baik-baik.

Ketidakharmonisan tersebut akan semakin menguat sehingga pelaku maksiat akan merasa dirinya terpencil dari lingkungan sekitarannya, dan makin dekat dengan lingkungan syaitan, bahkan akan dimusuhi oleh isteri, anak-anak, kerabat, malah dirinya sendiri. Na’udzubillah.

Seorang salaf berkata: “Dampak buruk dari perbuatan maksiat itu, nampak pada binatang ternaknya, juga pada keluarganya.”

5. Pelaku maksiat akan merasa gelapnya hati

Kerana taqwa dan ketaatan adalah cahaya yang menerangi jiwa, sedang maksiat dan dosa adalah kegelapan yang menambahkan titik hitam dalam hati pelakunya.

Sekali-kali tidak! Bahkan apa-apa yang mereka kerjakan itu telah menutupi hati mereka. (surah al-Muthaffifin; 83:14)

6. Mengakibatkan lemahnya akal dan fizikal

Iman adalah sumber kekuatan orang beriman. Dengan iman, pasukan tentera Islam berjaya menewaskan pasukan kuffar dalam peperangan walaupun kelengkapan pasukan lawan serba lengkap. Lihat saja peperangan Badar dan peperangan lainnya, sama ada yang berlaku pada zaman Rasullulah dan para sahabat, atau yang berlaku pada masa kini. Lihat saja perbezaan ketara antara pasukan Isra`el laknat yang pengecut dengan saudara kita di Palestin. Keberanian mereka dipacu oleh iman dan kerinduan membuak terhadap syahid dan syurga.

Lantas, ketika kita melakukan maksiat, bagaimana mungkin kekuatan dan keberanian itu akan datang, kerana sumbernya telah dicampak dari hati kita.

Semoga ALLAH menetapkan hati kita atas iman dan taqwa.

7. Terhalang dari melakukan ketaatan

Ketika kita menyibukkan diri melakukan maksiat, bagaimana mungkin pada masa yang sama kita melakukan ketaatan. Kerana itu ketika satu maksiat dilakukan, beerti satu ketaatan telah ditinggalkan. Seandainya tiada seksaan atas maksiat tersebut, cukuplah terhalang dari melakukan taat itu dianggap sebagai satu bentuk hukuman dari ALLAH.

8. Hilangnya barakah umur

Pada zaman kini, ramai orang yang akan menyambut ulang tahun kelahiran mereka. Tapi pernahkah kita cuba memikirkan untuk memenuhkan pertambahan umur tersebut dengan amal ibadah. Sungguh rugi andai bertambahnya umur kita adalah seiring dengan pertambahan amal dosa. Di situlah hilangnya barakah umur yang ALLAH kurniakan.

Teringat sebuah kisah yang diceritakan oleh Dr Khalid di dalam bukunya, ‘Kesaksian Seorang Dokter’, ketika pada satu hari beliau menziarahi sahabatnya yang mengabaikan perintah menunaikan solat untuk menasihatinya, sahabat beliau tersebut menolak dengan keras malah mengatakan bahawa dirinya akan hidup lebih lama, dan akan menunaikan solat ketika umurnya sudah tua. Tahukah anda apa yang berlaku kepada orang tersebut? Dia meninggal dalam satu kemalangan keesokan harinya, setelah 24 jam dari waktu Dr Khalid menemuinya.

Kerana itu, amat penting untuk sedaya upaya mencuba mengisi waktu-waktu kita dengan amal kebajikan, kerana kita tidak pernah tahu akhir dari hidup kita.

*Mudah-mudahan sedikit nukilan ini mampu mencetuskan sebuah kesedaran dalam diri kita, dalam memastikan keredhaan ALLAH dicapai ketika hidup kita di dunia.

Thursday, September 10, 2009

Doa Robiatul Adawiyah

Tuhanku,
Apa saja yang akan kau kurniakan kepadaku
berkenaan dunia
berikanlah kepada mereka yang memburunya
Dan apa saja kebaikan yang akan kau kurniakan kepadaku
berkenaan akhirat
berikanlah kepada hamba mu yang beriman
kerana aku hanya mahukan kasih Mu Tuhan

Wahai Allah
jika aku beribadah kerana syurgaMu..
Janganlah Engkau masukkan aku ke dalam syurga
Andainya aku beribadah kerana takutkan nerakaMu
maka lemparkanlah aku kedalamnya

Tetapi wahai Tuhan..
jika aku beribadah
kerana inginkan keredhaanMu
maka janganlah Engkau sia-siakan daku
Ameen ya Rabbal alamin.

Friday, September 4, 2009

BiCaRa BuAt TeMaNkU...

Teman,

Jadilah kehidupan kita di bumi sementara ini berpandukan
nur iman dan Islam bukannya berdasarkan nafsu yang
sentiasa inginkan kebebasan dan keseronokan yang tidak
berkesudahan.

Seorang ulama' telah mengukirkan
ungkapan indah bagaimana Allah mencipta malaikat
dengan diberikan kepada mereka akal tanpa nafsu,
binatang pula dianugerahi nafsu tanpa akal manakala
manusia diberikan keduanya sekali iaitu akal dan nafsu.
Sesiapa yang mampu mengawal nafsunya dengan akal
yang berpandukan syariat Ilahi maka dia lebih baik
daripada malaikat tetapi jika dia tewas dengan pujukan
nafsunya maka dia lebih hina daripada binatang.

Kita juga pernah mendengar kisah bagaimana seorang 'abid di
zaman silam apabila terdetik sahaja kehendak nafsunya
yang inginkan keseronokan maka dia akan berguling di
atas padang pasir yang panas sambil mengatakan kepada
dirinya sendiri adakah tubuhnya akan dapat menahan
daripada azab neraka yang lebih panas daripada itu.
Seorang yang lain pula menangis sehingga hilang
penglihatannya kerana menyesal dengan dosa yang
dilakukan.

Tidak ketinggalan dicoretkan bagaimana
seorang hamba yang bertaqwa tetapi pada suatu hari
seolah-olah kehilangan kuasa untuk mengawal kehendak
nafsunya dan cuba melakukan zina dengan seorang
pelacur yang dilihatnya tetapi sebelum terlanjur ke arah
kemunkaran dia tersebut nama Allah lalu dia jatuh dan
menggelempar serta menghembuskan nafas terakhir di situ
juga kerana begitu ketakutan dengan apa yang cuba
dilakukan.Bagaimana pula dengan diri kita wahai teman?

Godaan dan cubaan berada di sekitar kita. Adakah kita
telah cuba sedaya yang mungkin di dalam menghindarinya
ataupun kita sendiri dihanyutkan oleh keadaan sekeliling?
Jagalah pancaindera kita daripada kemungkaran yang
melata.

Ingatlah pesanan Rasulullah S.A.W sebagaimana
yang diriwayatkan oleh imam Tarmizi : Hamba yang baik
ialah mereka yang beragama dan menyediakan
bekalan amalan selepas mati. Manakala orang
sombong adalah mereka yang mengikut kehendak
nafsu dan mengharapkan belas kasihan Allah
semata-mata.

Teman,

Bagaimana pula dengan ibadat seharian kita wahai
teman?. Adakah kita merasakan ia sudah banyak dan
mencukupi sedangkan kita pernah membaca kisah
mengenai seorang lelaki dari Bani Israel telah beribadat
kepada Allah selama 70 tahun. Allah telah mengutuskan
malaikat kepadanya dan menyatakan bahawa ibadatnya
yang begitu banyak tidak mampu menjamin dia untuk
merasai nikmat Syurga Allah. Lalu dia menyatakan
bahawa dia beribadat kerana dia dijadikan untuk
beribadat bukannya mengharapkan balasan. Apabila
malaikat memberitahu kepada Allah tentang jawapan yang
telah diberikan maka Allah menyatakan bahawa Dia telah
mengampuni segala dosa-dosa lelaki itu.

Rabi'ah 'Adawiyah salah seorang daripada waliullah telah
menyatakan bahawa ibadat yang ditunaikan bukan kerana
takut azab Allah dan mengharapkan syurga Allah tetapi
dilakukan kerana taat dan patuh pada perintahNya.

Sayyidina Ali mengatakan sesiapa yang menganggap dia
akan mencapai sesuatu tanpa kesungguhan maka dia
sebenarnya berangan-angan tetapi sesiapa yang
bercita-cita untuk mendapat sesuatu bersama dengan
usaha yang bersunguh-sungguh dia akan mencapainya.

Sayyidina Hassan juga pernah mengingatkan bahawa
mengharapkan Syurga tanpa amalan merupakan satu dosa
daripada dosa-dosa yang lain.

Teman,

Imam al-Ghazali pernah menasihati kita bahawa ilmu
tanpa amal gila dan amal tanpa ilmu sia-sia.Ketahuilah
bahawa ilmu tidak mampu menjauhkan diri kita hari ini
daripada maksiat dan tidak akan mendorong kepada taat
serta tidak menjauhkan diri kita daripada azab neraka.
Jika kita tidak beramal hari ini maka kita tidak akan dapat
kembali untuk beramal pada hari yang telah berlalu pergi.

Permintaan kita untuk kembali ke dunia setelah berlakunya
qiamat tidak akan diterima malah kita akan diherdik
dengan kata-kata pedas : Wahai orang yang bongkak!
Mengapa kamu datang dari sana tanpa bekalan?.

Rasulullah beristighfar lebih 70 kali sehari dan sentiasa
mengamalkan salam kepada para sahabat sehingga para
sahabat merasa malu kerana setiap kali berjumpa maka
Rasulullah S.A.W yang merupakan orang pertama yang
memberi salam bukannya mereka. Bagaimana dengan kita
wahai teman? Hayatilah hadis Rasulullah yang
diriwayatkan oleh imam Tarmizi : Hitunglah diri kamu
sebelum kamu dihitung dan timbanglah amalan kamu
sebelum ia ditimbang oelh Allah kelak.

Teman,

Renungilah kata-kata imam al-Ghazali bahawa jika
kita membaca kitab seratus tahun dan mengumpul seribu
kitab, ia tidak menjadikan diri kita bersedia untuk
mendapat rahmat Allah melainkan dengan amalan.
Sekalipun seseorang hamba memasuki Syurga dengan
kelebihan dan kasih sayang daripada Allah tetapi ia dapat
dicapai selepas dia menunaikan segala ketaatan dan ibadat
kerana rahmat Allah hampir dengan orang yang sentiasa
mengerjakan amalan yang baik dan soleh.

Renunglah dirimu wahai teman!
Tidak lupa juga diri ini yang banyak dosa dan maksiat padaNya...
Moga terampun segala dosa dan khilaf...

Amiin...

Thursday, September 3, 2009

ADAKAH KITA AKAN TENGGELAM???

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIIM...

Dalam hidup bermasyarakat, seringkali kita tidak lekang dengan ungkapan privacy, kehidupan sendiri dan macam-macam lagi. Kita tidak suka jika perihal kita dan tata cara hidup kita diganggu gugat oleh orang lain. Bahkan dengan yang demikian timbullah peribahasa “jangan ganggu tepi kain orang”.

Tetapi sedarkah kita, bahawa dalam hidup bermasyarakat, kita bukanlah hidup berseorangan. Kita adalah ibarat sebuah kapal yang diketuai oleh ulil amri (pemimpin-pemimpin) yang terpercaya. Kapal dan bahtera masyarakat ini lah yang membawa kita sama ada ke arah kejayaan yang gemilang atau pun kehancuran.

Sungguhpun manusia ini hidup diatas daratan, tetapi selayaknya hidup kita adalah lautan yang penuh gelora dan tidak selalunya tenang. Maka Allah dan Rasul telah menetapkan aturan hidup yang cantik, indah dan sempurna sebagai jalan hidup.

Tetapi, malang dan sangat kesal sekali bilamana kita tidak menurut apa yang telah lama kita ketahui. Kita hanya pandai bercakap undang-undang Islam, hukum Islam dan macam-macam lagi tentang Islam. Tetapi, adakah Islam itu tertegak hanya dengan kata-kata tanpa apa-apa tindakan? Adakah tamadun Islam itu sendiri gah dengan ucapan-ucapan kosong?

Kalau lah benar Islam ini tertegak sebegitu mudah, Rasulullah tidak perlu berdakwah ke merata tempat. Kalaulah benar Islam ini tertegak dengan kata-kata, kenapa makam sahabat banyak di serata pelusuk dunia. Kalaulah Islam ini tertegak dengan kata-kata, kenapa perlu mujahid setia mengangkat pedang menaikkan maruah Islam?

Islam ini bukan tertegak dengan kata-kata sahaja! Islam ini tertegak dengan perbuatan yang selaras dengan apa yang diucapkan berpandukan Quran dan Sunnah. Dan dalam kita hidup bermasyarakat juga, dalam bahtera perpaduan tidak kira anda agama apa pun, anda bayangkanlah, jika kapal yang anda naiki itu dilubangi atau dirosakkan oleh segolongan pihak.

Contohnya, ada segolongan lelaki cuba melubangkan lantai bahtera itu dan anda berdiri disitu, sedang suasana luar kapal itu penuh gelora dan lambungan ombak. Adakah anda akan berdiam diri? Adakah anda akan duduk disitu sahaja dan anda akan berkata, “Ini bukan hal aku. Aku tak buat apa pun. Biarlah diorang”.

Adakah anda akan berdiam diri kerana anda tahu yang jika kapal itu dilubangkan, maka anda akan turut tenggelam dan mungkin sekali anda juga bersalah kerana tidak mencegah apa yang dilakukan itu. Inilah masyarakat. Inilah yang sedang terjadi kepada masyarakat.

Bilamana pelaku kerosakan dan pembuat dosa dan maksiat bebas mengatakan yang urusan mereka adalah hak mereka sahaja, bahkan dengan lantang mengatakan, “Suka hati akulah. Kubur masing-masing. Aku tak susahkan orang lain”. Peminum arak, penzina, pelaku maksiat memang melakukan dosa itu sendiri tanpa mudharatkan orang lain secara zahirnya. Tetapi azab Allah tidak hanya tertimpa pada satu golongan manusia sahaja.

Mahukah nanti bilamana kita bertanya kepada Allah: “Ya Allah, kenapa aku diazab sedangkan aku tidak lakukan apa yang mereka lakukan??. Lalu Allah menjawab, “Apakah tanggungjawab mu yang telah Ku berikan ilmu dan hidayah sedangkan kau tak berani membetulkan kaum mu?”

Bilamana kapten kapal kita juga melakukan silap dalam menakhoda kapal itu bahkan kita ketahui yang kapal itu jika terus berada pada laluan yang diterajui nakhoda kapal itu akan menyebabkan kapal yang kita naiki akan karam, adakah kita akan mendiam diri bahkan mungkin sekali berkata, “Nakhoda hebat membawa kami ke jalan yang hebat”. Sedangkan kita tahu di hadapan penuh batu dan karang yang akan merobekkan badan kapal dan menyebabkan kita semua lemas. Adakah itu yang kita akan lakukan?

Sedarlah, kita ini adalah bahtera yang dirangkumkan menjadi satu ummat. Bilamana ada nya kemungkaran dimata kita dan tidak kita berani untuk mencegah bahkan tidak terasa untuk membenci, akan sampai satu ketika kapal ummat ini akan terus lemas dalam kejahilan sehingga sampai ummat yang akan menggantikan kita dan memerangi kejahilan itu. Fikirkanlah, adakah kamu akan menjadi ummat yang tenggelam atau yang akan membetulkan kapal ini?


"Maka mereka mendustakan Nuh, kemudian Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya di dalam bahtera, dan Kami tenggelamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang buta (mata hatinya)." [7:64]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...