"Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]

Followers

Sunday, August 30, 2009

Kemerdekaan dan kebebasan menurut Islam

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIIM...

Petikan Tazkirah ini telah disampaikan oleh Ustaz Zaini Hashim


SYEIKH Ahmad Khadrawaih ada menegaskan:

Kesempurnaan dalam pengabdian, diperolehi pada kebebasan (kemerdekaan) dan kesempurnaan kebebasan itu tercapai dalam pengabdian

Firman Allah SWT yang disebut dalam ayat 34 surah an-Naml bermaksud:

Dia (Puteri Balqis) berkata: Sessungguhnya raja-raja (istilah hari ini diertikan sebagai golongan penjajah) apabila memasuki sesebuah negara, pasti mereka akan merosakkannya dan menjadikan penduduknya yang mulia jadi hina dan demikian pulalah yang akan mereka lakukan”

Jelas menunjukkan bahawa, bukanlah kebebasan (kemerdekaan) seperti yang digambarkan oleh segelintir manusia, iaitu bebas daripada belenggu penjajahan, atau bebas dengan melakukan apa sahaja yang keji dan mungkar untuk memenuhi ruang nafsu, tetapi kebebasan yang sempurna kadang-kadang tercapai dengan menahan sesuatu.

Apa yang diutarakan oleh ayat al-Quran dan pandangan Syeikh Ahmad di atas memang jelas berlaku kepada para pemimpin negara yang pernah dijajah oleh para penjajah suatu ketika dahulu seperti Britain, Belanda, Perancis, Itali, Jerman dan sebagainya tidak akan meninggalkan negara yang dijajah, melainkan mereka berpuas hati mendapati ada segelintir daripada penduduknya yang sanggup untuk meneruskan sistem sekular yang memisahkan antara agama dan politik.

Perkara ini jelas terjadi di India dan di tanah air kita sendiri yang bernama Malaysia tercinta, di mana sistem tersebut masih mengguna-pakai pemisahan antara agama dan politik, seolah-olah bab agama hanya boleh diceritakan orang di dalam masjid-masjid sedangkan masalah pula ditadbir oleh mereka yang rakus untuk mengaut keuntungan tertentu dan bukannya berkhidmat untuk rakyat. Perkara ini terjadi akibat tidak ada penyatuan antara agama dan politik.

Percambahan program maksiat untuk memenangi hati pengundi

Bagi mengekalkan kuasa agar diri para pemerintah disukai dan diterima oleh sebahagian besar rakyat khususnya dalam pilihan raya, pelbagai program sebelum pilihan raya dalam tempoh lima tahun itu diisi seolah-olah untuk memberitahu rakyat bahawa hiburan sangat penting bagi meringankan bebanan mereka yang penat bekerja.

Justeru, penganjuran program-program realiti seperti Akademi Fantasia (AF), Malaysian Idol, So U Think U Can Dance, One In A Million, Bintang RTM, Bintang Kecil, Anugerah ERA, Anugerah BPBH, Anugerah Skrin dan Anugerah Seri Angkasa dan yang sejak akhir-akhir ini tidak dapat dihitung dengan jari sepuluh.

Kenapa boleh terjadi demikian?

Imam at-Tabari ada menegaskan dalam kitabnya Tarikh at-Tabari atau Tarikh al-Umam wal Muluk mengenai satu pendapat daripada seorang sahabat yang menyebut Rakyat (orang ramai) bergantung kepada (pegangan) agama para pemimpin mereka”.

Imam at-Tabari membandingkan corak pemerintahan di kalangan tiga orang khalifah pada zaman empayar Bani Umaiyah, iaitu khalifah yang keenam Al-Walid bin Abdul Malik, ketujuh Sulaiman bin Abdul Malik dan kelapan Khalifah Umar bin Abdul Aziz.

Pada zaman pemerintahan al-Walid lebih menekankan persoalan pembangunan yang akhirnya mempengaruhi kehidupan rakyat yang juga bercakap mengenai pembangunan, kemudian berikutnya begitu juga sampailah ke zaman pemerintahan Umar bin Abdul Aziz yang lebih menekankan aspek agama hingga rakyat suka bercakap tentang isu agama.

Apa yang dapat diambil kesimpulan, bahawa para pemerintah di beberapa negara yang pernah dijajah, akan mengikuti telunjuk tuannya hingga Islam bukan lagi faktor penting untuk diketengahkan kepada rakyat, kalau dibincangkan tentang Islam pada perkara yang remeh-remeh sahaja, tetapi dalam perkara pelaksanaan hukum Islam ditutup perbincangannya kerana dikhuatiri tidak menepati cita rasa rakyat pelbagai kaum.

Justeru, para pemimpin yang amat mendalam minatnya pada hiburan atau sukan akan berusaha memperbanyakkan program hiburan seperti yang telah disebut di atas begitu juga aspek sukan yang mendapat di hati rakyat, mereka disogokkan dengan pelbagai anugerah sukan hingga lupa peranan mereka sebagai rakyat untuk mendaulatkan Islam sebagai agama rasmi negara.

Jadi tidak hairanlah jika rakyat bercakap tentang sukan atau hiburan kerana pemerintah juga suka bercakap mengenainya, akhirnya mereka semua tidak menjadi sebaik-baik umat yang dikeluarkan Allah buat umat manusia sejagat.

Apa yang perlu diingatkan, bahawa sambutan perayaan ke-50 kemerdekaan negara tidak patut disambut dengan tarian, nyanyian, persembahan konsert dari golongan artis, kerana tindakan seumpama itu adalah hasil reka cipta penjajah, yang lebih malang lagi pihak penganjur dan yang memberi izin penganjurannya akan didakwa di mahkamah Allah pada hari Kiamat.

Apa kemerdekaan atau kebebasan yang dianjurkan Islam?

Walaupun Islam telah memperkenalkan konsep kebebasan beragama, berfikir, berpolitik dan sebaginya, ia bukan bermakna memberikan kebebasan sepenuhnya hingga manusia menentang Allah secara terbuka.

Namun kemerdekaan dan kebebasan sebenarnya ialah manusia itu mampu untuk menyempurnakan pengabdiannya kepada Allah tanpa sebarang campurtangan manusia yang menyekat kebebasannya untu berbuat demikian, dengan lain perkataan, seseorang itu dapat serta mampu melakukan segala aktiviti hariannya yang berasaskan pengabdian serta ibadat kepada Allah tanpa sekatan, halangan ataupun kongkongan.

Apabila suasana seumpama ini berlaku pada diri seseorang itu, maka apa yang dilakukannya tidak lain ialah untuk menjadikan dirinya terbaik di sisi Tuhannya, kerana ia dilakukan atas kehendak diri sendiri secara bebas dan merdeka, umpama orang yang merdeka daripada belenggu perhambaan, dia akan rasakan bahawa dunia ini adalah segala-galanya.

Justeru, apa makna merdeka jika perangai, fahaman, cara hidup, cara berfikir, berpakaian, cara pentadbiran negara tidak selari dengan kehendak hukum Allah SWT, umpama hukum zina bagi orang yang telah berkahwin direjam sementara yang belum berkahwin disebat, tetapi hukum-hukum tersebut digantikan dengan denda atau penjara, maka sudah pasti manusia tidak akan merasa merdeka kerana membelakangkan peraturan sebenar yang dicipta oleh Allah buat mereka.

Sumber : http://harakahdaily.net

Saturday, August 22, 2009

Ramadhan datang lagi...

Ramadhan datang lagi,

Membawa seribu erti,

Menguji jati diri,

Sejauhmana cinta pada Ilahi.


Ramadhan datang lagi,

Mengusir segala sunyi sepi diri,

Dinihariku yang malap kini kian berseri,

Dengan tasbih, selawat dan tahmid suci.


Ramadhan,

Datangmu memang kunanti,

Rinduku padamu sentiasa mekar di taman hati,

Segar mengharum di bingkai rohani,

Menjadi inspirasi pengabdian diri ,

Sepenuh jiwa raga pada raja seluruh alam,

Allah Rabbbul’alamin.


Ramadhan,

Kuharap kali ini kau takkan pergi lagi,

Walaupun kau pasti akan pergi lagi,

Meninggalkan aku, dia dan semua isi bumi,

Dan hanya akan datang menjengah kembali,

Dengan membawa malam seribu erti,

Pada tahun hadapan nanti.


Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan,

Wa Marhaban Minkum

Kuharap kau tetap hadir dalam sanubariku,

Bagi mentarbiyah nafsu dan mindaku agar sentiasa,

Melaksanakan Sunnatullah,

Menjauhi mungkar dan larangan Allah,

Agar..biar lahirku nanti selepas


Ramadhan,

Laksana bayi yang suci bersih,

Tanpa noda dan dosa.


Ya Allah ..

Kau jadikan bulan Ramadhan kali ini

sebagai penyuci segala kekotoran hatiku

sebagai satu tarbiyah atas tindakanku

sebagai pembimbing akhlak dan pekertiku

sebagai penyuluh segala amalanku

sebagai pelopor keikhlasanku

sebagai penyubur roh kasih dan sayangku


Ya Allah...

Peliharalah diriku

dari segala godaan nafsu

dan kau berilah petunjuk pada mereka

yang mempersendakan ramadhan ini

yang tidak takut pada KebesaranMu

yang tidak takut pada azabMu

mereka bangga bila tidak berpuasa

dan mereka bangga kalau berpuasa

tapi tidak menyembahMu


Ya Allah ..

Tetapkanlah kami pada ketaatan terhadapMu.

Dan limpahkanlah pada kami

Rahmat,Keberkatan dan PengampunanMu

pada Ramadhan kali ini..


Amiin...

Wednesday, August 19, 2009

WABAK H1N1...1 PERINGATAN DARI ALLAH!!!


Apa Itu H1N1?

Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan penularan 1 wabak penyakit iaitu Influenza A H1N1/ Selesema Babi. Wabak ini sedang melanda seluruh dunia tidak terkecuali negara kita Malaysia. Penyakit ini adalah sejenis penyakit yang menjejaskan sistem pernafasan yang lazimnya menjangkiti haiwan khususnya babi disebabkan oleh virus Influenza jenis A.

Pada kebiasaannya wabak haiwan ini tidak menjangkiti manusia tetapi 1 jangkitan luar biasa melibatkan penyebaran penyakit ini daripada manusia kepada manusia yang telah disahkan oleh Pusat Kawalan Amerika Syarikat dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Wabak ini mudah berjangkit melalui sentuhan langsung dengan babi atau pemindahan virus selsema babi kepada manusia dan manusia sesama manusia. Kesan yang dikenal pasti apabila suhu badan melebihi 37.8 darjah celsius, sakit badan, batuk, berhingus, bersin, sesak nafas, hilang selera makan, muntah, dan cirit birit.

Hikmah Pengharaman Babi

Persoalan besar yang timbul ialah apakah perkaitan antara pengharaman babi dengan wabak yang dahsyat ini?. Benarkah virus boleh berubah dalam bentuk yang lebih bahaya pada babi?. Menurut pengkaji, kuman-kuman virus daripada babi ini mampu berubah menjadi lebih berbahaya dari semasa ke semasa. Justeru sejak 1430 tahun hijrah lalu, al-Qur’an telah memperingatkan sebanyak empat kali tentang pengharaman babi yang akan membinasakan kehidupan manusia.

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Maidah ayat 3:

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan mati dipukul, dan mati jatuh, dan mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih, dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan) kamu mengundi nasib dengan anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik.”


Berdasarkan ayat tersebut, jelas bahawa Allah s.w.t. mengharamkan sesuatu perkara mempunyai hikmah yang tertentu. Antaranya, bertujuan membuktikan perhambaan diri kepada Allah azza wa jalla dan menyelamatkan manusia daripada kerosakan. Menurut kajian saintis, memakan daging babi menyebabkan seseorang boleh dihinggapi hampir 70 jenis penyakit.

Adakah H1N1 Bala Dari Allah???

Al-Qur’an banyak memberi amaran kepada manusia yang mengkufuri dan melakukan maksiat kepada Allah s.w.t. dengan pelbagai ancaman. Antara ancaman tersebut ada yang berbentuk kesengsaraan di dunia dan ada yang berbentuk kesengsaraan di akhirat. Di antara kesengsaraan di dunia ialah seperti bencana alam, peperangan, kemalangan, dan serangan wabak penyakit.

Imam Tarmidzi ada meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud,
“ Tidak henti-hentinya bala (bencana) yang menimpa seorang mukmin laki-laki mahupun perempuan, baik mengenai dirinya atau sanak keluarganya, atau harta kekayaannya hingga ia menghadap Allah sesudah bersih dari dosanya”.

Apa yang berlaku sekarang adalah salah satu tanda bala Allah. Sebagaimana apa yang berlaku dizaman bani Israel semasa pemerintahan Nabi Musa dimana Allah menurunkan bala berbentuk belalana, katak dan darah. Bala yang diturunkan akibat dari maksiat yang dilakukan oleh manusia itu sendiri.Lihatlah hari ini betapa banyaknya maksiat yang berlaku di negara kita.Betapa ramai orang yang kufur(ingkar) dengan perintah ALLAH.

"Wahai orang-orang yang beriman dengan Allah dan RasulNYA,dan kitab yang mana Dia telah mengirim kepada Rasul dan Kitab sebagaimana Dia telah kirim kepada orang yang terdahulu.Sesiapa yang mengingkari(megufurkan) Allah,Malaikatnya,KItab-kitab,Rasul-rasulNYA,dan hari Pengadilan,sesungguhnya mereka sesat,kesesatan yang jauh."
(Surah An-Nisa';136)

Apa Kaitan H1N1 Dengan Azab Allah???

Dalam ayat 58 surah al-Israk, Allah menegaskan bahawa bala itu diturunkan bagi penduduk yang mengingkari Allah. Bolehkah kita kaitkan dengan kemunculan pelbagai penyakit termasuk H1N1 ini dengan peringatan tersebut?Pada dasarnya, penyebab datangnya azab Allah SWT adalah kezaliman, kemaksiatan dan kefasikan.

Allah SWT telah menyatakan hal ini di beberapa ayat.
Antaranya adalah firman Allah SWT yang bermaksud: Dan tidak pernah Kami membinasakan kota-kota, kecuali penduduknya dalam keadaan melakukan kezaliman.(al-Qashash: 59).

Maka tidak dibinasakan kecuali kaum yang fasik.(al-Ahqaf: 35).

Kami telah membinasakan mereka, kerana sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang berbuat dosa (al-mujrim).(ad-Dukhan: 37).

Ayat-ayat di atas menunjukkan bahawa azab Allah hanya akan dijatuhkan kepada penduduk negeri yang melakukan kezaliman, kemaksiatan, dan kefasikan. Dengan kata lain, azab Allah hanya akan dijatuhkan, tatkala peringatan-peringatan Allah SWT melalui dakwah Rasul-Nya telah diabaikan dan didustakan.

Jika melihat kepada ayat-ayat di atas kita tidak boleh menolak kemungkinan munculnya influenza A ini adalah akibat keingkaran manusia kepada Allah.

Kesimpulan

Ayuh,kita kembali kepada Islam,kembali kepada paksi kebenaran,jangan kita tergolong dalam golongan orang mengingkari ALLAH dan segala perintahnya.Ingatlah bahawa amanah ini cukup besar dan berat sekali…!!!

Sunday, August 16, 2009

7 GOLONGAN YG MENDAPAT Perlindungan Arasy Pada hari kiamat

Abu Hurairah ra telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: ” Terdapat 7 golongan yang akan mendapat lindungan arasyNya pada hari yang tiada lindungan melainkan lindungan daripadaNya. Pemimpin yand adil; pemuda yang masanya dihabiskan untuk beribadah kepada Allah SWT; seseorang yang hatinya terpaut pada masjid; 2 lelaki yang berkasih sayang dan bertemu dan berpisah kerana Allah SWT; lelaki yang digoda oleh perempuan cantik dan berpengaruh untuk melakukan maksiat tetapi dia menolak dengan mengatakan Aku Takutkan Allah; seseorang yang bersedekah dan menyembunyikannya sehinggakan tangan kanannya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kirinya; dan seseorang yang mengingati Allah ketika bersendirian sehinggakan mengalir air matanya kerana Allah SWT.” Riwayat Muslim

1. Pemimpin (imam) yang adil.
Setiap yang dipertanggungjawabkan akan dipersoalkan kembali kelak. Maka bergembiralah kepada mana-mana peminpin yang dapaat berlaku adil. Pemimpin di sini termasuklah seorang suami yang memimpin isteri dan anak-anak. Seorang isteri yang memimpin anak-anaknya dan sebagainya.

2. Pemuda yang membesar dalam ibadah kepada Allah.

Naungan Ilahi ini juga dijanjikan kepada lelaki dan perempuan yang sentiasa hidup dalam ibadah kepada Allah. Sentiasa menyedari bahawa Allah melihat segala perbuatannya. Di mana segalanya di bawah kawalan dan naungan Ilahi.

3. Lelaki yang hatinya sentiasa rindukan (teringat-ingatkan) rumah Allah.
Begitu jua bagi lelaki yang hatinya sentiasa rindukan rumah Allah. Tertunggu-tunggu setiap masa untuk beribadah di dalamnya. Baik untuk sembahyang wajib lima waktu setiap hari dan untuk ibadah lain.

4. Dua orang lelaki yang cinta mencintai kerana Allah bertemu dan berpisah kerana ALLAH.

Dalam satu hadis Rasulullah bersabda: “Allah telah mengutuskan malaikat kepada seorang lelaki semasa dalam perjalanan untuk menziarahi saudaranya kerana Allah”. Lalu malaikat bertanya: “Nak kemana?” Dijawab: “Aku mahu menziarah saudara ku… … ..” Tanya malaikat lagi: Untuk apa?” lelaki itu menjawab: Tiada apa-apa tujuan.” Ditanya lagi: “Apa hubungan dengan kamu?” Lalu dijawab oleh lelaki itu:” Tiada apa-apa hubungan.” Ditanya lagi: ” Apa budinya kepada kamu?” Dijawab:”Tiada apa-apa pun.” Ditanya lagi:” Apa tujuannya?” Lelaki itu menjawab:

” Aku mencintainya kerana Allah.” Berkata malaikat: sesungguhnya Allah telah mengutusku kepada mu untuk memberitahu bahawa kerana kecintaanmu kepadanya maka ALLAH telah mengizinkan kamu memasuki syurgaNYA.” (Riwayat Muslim)

Perasaan sayang dan kasih terhadap orang lain bukan kerana ada tujuan lain. Bukan untuk memikat anak gadisnya atau hartanya, sebaliknya hanya mengharap keredhaan Ilahi. Hanya kerana Allah hubungan ini dieratkan.

5. Lelaki apabila mengingati ALLAH bersendirian menitis airmatanya.

Hadirnya perasaan takut kepada ALLAH walaupun bersendirian sehingga menitis airmatanya. Ianya bukan saja-saja tetapi hadir dari hati yang menginsafi kebesaran ALLAH.

6. Seorang lelaki yang dirangsang oleh seorang perempuan berdarjat lagi cantik untuk berzina, lalu ia berkata: “Tidak! Aku takutkan ALLAH” (inni akhofullah)

Sesiapa yang takut untuk berbuat kesalahan, takut kepada ALLAH dan azab api neraka akan sentiasa mendapat perlindungan dari-NYA.

7. Lelaki yang bersedekah dan tidak pula dimegah-megahkannya.

Pemberian yang mengharapkan balasan dari Ilahi tidak akan diperbesar-besarkan. sebaliknya akan dilakukan secara tersembunyi. Sehingga digambarkan seolah-olah tangan yang kiri tidak mengetahuinya apa yang disedekahkan oleh tangan kanan. Lupakan kebaikan dan pemberian kita, sebaliknya banyak mengingatkan kesilapan dan kesalah diri kita terhadap ALLAH dan orang lain.

Rebutlah peluang ini, jadilah orang yang beruntung di akhirat. Tiada yang mustahil untuk kita lakukan. Jadilah hambaNYa yang ikhlas dan redha atas segala yang berlaku. Semoga kita semua tergolong dalam golongan orang yang mendapat perlindunganNYA selalu.

Thursday, August 13, 2009

10 SEBAB SOLAT TIDAK DTERIMA

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:

"Sesiapa yang memelihara solat, maka solat itu petunjuk dan jalan selamat dan barang siapa yang tidak memelihara solat maka sesungguhnya solat itu tidak menjadi cahaya dan juga tidak menjadi petunjuk dan jalan selamat baginya".

Rasulullah saw juga telah bersabda yang bermaksud: "10 orang yang solatnya tidak diterima oleh Allah SWT ialah:

1. Orang lelaki yang solat sendirian tanpa membaca sesuatu.

2. Orang lelaki yang mengerjakan solat tetapi tidak mengeluarkan zakat.

3. Orang lelaki yang minum arak tanpa meninggalkannya (taubat).

4. Orang lelaki yang menjadi imam padahal orang yang menjadi makmum membencinya.

5. Anak lelaki yang melarikan diri dari rumah tanpa izin kedua ibu bapanya.

6. Orang perempuan yang suaminya marah/menegur kepadanya lalu si isteri memberontak.

7. Imam atau pemimpin yang sombong dan zalim serta menganiaya.

8. Orang perempuan yang tidak menutup aurat.

9. Orang yang suka makan riba.

10. Orang yang solatnya tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:

"Barang siapa yang solatnya tidak dapat menahan daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar, maka sesungguhnya solatnya itu hanya menambahkan kemurkaan Allah SWT dan jauh dari Allah SWT."

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...