"Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]

Followers

Wednesday, February 25, 2004

10 Rukun Bai'ah

FAHAM

Maksudnya: Hendaklah kamu yakini bahawa
fikrah kita adalah fikrah Islam yang tulen dan hendaklah
difahamkannya kepada orang ramai seperti mana yang kita fahami
dalam lingkungan dua puluh usul yang amat ringkas.

1. Islam adalah satu sistem yang menyeluruh yang mengandungi semua
aspek kehidupan. Ia adalah daulah dan negara ataupun kerajaan dan
umat. Ia adalah akhlak dan kekuatan ataupun kasih sayang dan
keadilan. Ia adalah peradaban dan undang-undang ataupun keilmuan
dan hukum-hukum. Ia juga adalah material dan harta benda ataupun
kerja dan kekayaan, ia adalah jihad dan dakwah ataupun ketenteraan
dan fikrah. Begitu juga ia adalah akidah yang benar dan ibadat
yang sahih, kesemuanya adalah sama pengiktibarannya di sisi kita.

2. Al-Quran yang mulia dan sunnah yang suci adalah rujukan kepada
setiap muslim dalam mengetahui hukum-hukum Islam. Al-Quran
difahami dengan mengikut kaedah bahasa arab dengan tidak mengikut
sikap memberatkan dan menyempitkan. Kefahaman kepada sunnah yang
suci adalah dengan mengembalikannya kepada rijal-rijal hadis yang
thiqah.

3. Iman yang benar, ibadat yang sahih dan mujahadah mempunyai
cahaya dan kemanisan yang diberikan oleh Allah kepada hati-hati
hamba yang dikehendakiNya. Manakala ilham, lintasan hati, tilikan
dan tenungan adalah bukan dari dalil hukum syariah yang tidak
diberikan iktibar kecuali jika tidak bertembung dengan hukum dan
nas agama.

4. Dan setiap tangkal, pelindung, azimat, tilikan, jampi serapah
dan pengakuan mengetahui perkara ghaib adalah termasuk dalam
perkara mungkar yang wajib diperangi kecualilah jika ianya adalah
daripada ayat al-Quran dan tangkal yang sandarannya.

5. Pandangan Imam dan naibnya pada masalah yang tidak ada nas
putus padanya dan pada perkara yang mempunyai arah pandangan yang
berbagai hendaklah dipakai selagi mana ia tidak bertentangan
dengan kaedah syarak. Pandangan ini kadangkalanya berubah dengan
perubahan situasi, uruf dan adat. Asal dalam perkara ibadat adalah
mengabdikan diri tanpa berpaling kepada makna-maknanya sedangkan
asal dalam perkara adat, dilihat kepada rahsia-rahsia, hikmat dan
tujuannya.

6. Setiap orang boleh dipakai ataupun ditolak kata-katanya
melainkan kata-kata yang keluar dari orang yang dilindungi dari
dosa, Rasulullah s.a.w. Setiap perkara yang datang dari para
salafussoleh r.a yang bertepatan dengan kitab Allah dan sunah,
kita hendaklah menerimanya. Kalau tidak bertepatan dengan nas,
maka nas al-Quran dan sunah Rasulullah s.a.w adalah yang lebih
utama untuk diikuti. Tetapi kita tidak sekali-kali mengutuk dan
memburukkan seseorang dari mereka walaupun apa yang telah
diselisihkan mengenainya. Kita serahkan semuanya kepada niat
masing-masing kerana mereka telah bergantung kepada apa yang telah
mereka kerjakan.

7. Setiap muslim yang tidak sampai kepada martabat ijtihad dalam
mencari dalil hukum Islam yang furuk hendaklah mengikut kepada
pegangan salah seorang dari Imam-imam mazhab Islam. Menjadi elok
lagi kepadanya ketika mengikut mazhab itu jika ditambah dengan
usaha yang sedaya upaya untuk mengetahui dalil-dalilnya. Dia
hendaklah menerima segala petunjuk yang diserta dengan dalil,
ketika diyakini kesahihan dan kebolehan orang yang memberikan
petunjuk itu kepadanya. Dia juga hendaklah menyempurnakan
kekurangan ilmu yang ada pada dirinya sekiranya dia di kalangan
ahli ilmu sehinggalah dia sampai kepada peringkat Al-Nazar
(ijtihad hukum).

8. Perselisihan faham dalam perkara furuk fekah tidak boleh
menjadi sebab kepada berlakunya perpecahan di dalam agama, juga
janganlah ianya membawa kepada perbalahan, kemarahan antara satu
sama lain. Setiap mujtahid ada pahalanya. Tidak ada halangan jika
dilakukan pengkajian ilmiah yang adil dalam masalah yang
diperselisihkan ini yang dilakukan dalam naungan perasaan kasih
mengasihi kerana Allah, bantu membantu untuk sampai kepada hakikat
yang sebenarnya, dengan tidak membawa kepada perbahasan yang
dikeji dan perasaan taasub.

9. Melarutkan diri ke dalam masalah yang tidak membawa kepada amal
adalah antara takalluf (memberatkan) yang dilarang oleh syarak. Di
antara masalah seperti itu adalah seperti banyaknya cabang dalam
hukum-hukum yang tidak mungkin berlaku, larut dalam membahaskan
makna ayat al-Quran yang masih tidak diketahui oleh akal
pengetahuan dan perbincangan untuk melebihkan antara
sahabat-sahabat r.a dan pertentangan yang berlaku antara mereka.
Setiap dari sahabat ada kelebihan bersahabat dengan Rasulullah
s.a.w dan kesemuanya dibalas bergantung kepada niatnya.
Membincangkan perkara ini boleh membawa kepada perselisihan yang
buruk akibatnya.

10. Makrifat Allah Taala, tauhid kepadaNya, membersihkanNya adalah
akidah Islam yang paling mulia. Kita beriman dengan ayat dan hadis
sahih yang menceritakan sifat Allah dan apa perumpamaan yang layak
denganNya, kita beriman dengannya seperti mana datangnya ayat itu
tanpa takwil dan mencuaikan. Kita juga tidak mencampurkan diri
kita kepada perkara yang diperselisihkan oleh ulamak mengenai
perkara ini. Kita hanya mengikut apa yang diredhai oleh Rasulullah
s.a.w dan para sahabat baginda. Firman Allah yang bermaksud: "Dan
orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam
ilmu-ilmu ugama berkata: "Kami beriman kepadanya, semuanya itu
datangnya dari sisi Tuhan Kami" (Al-Imran).

11. Setiap perkara bid'aah dalam din Allah yang tidak ada asalnya
walaupun diperelokkan oleh manusia dengan nafsu mereka dengan
menambahkan ataupun mengurangkannya, adalah perkara kesesatan yang
wajib diperangi dan dihapuskan dengan cara yang terbaik yang tidak
membawa kepada merebaknya perkara yang lebih buruk dari itu.

12. Perkara bid'aah tambahan dan kurangan serta iltizam dengan
ibadat yang mutlak adalah antara masalah fekah yang masih
diperselisihkan. Setiap ulamak mempunyai pandangan yang
tersendiri. Tidak menjadi halangan jika kita mencari kebenaran
dengan dalil dan bukti.

13. Mencintai, menghormati dan memuji orang-orang yang soleh
kerana amalan kebaikan mereka adalah satu pendekatan diri kepada
Allah Taala. Wali-wali Allah inilah yang dimaksudkan oleh Allah
sebagai orang yang beriman dan mereka bertaqwa kepadaNya. Perkara
keramat berlaku kepada mereka dengan syarat yang syar'ie dengan
menganggap bahawa mereka telah diredhai oleh Allah dan mereka
tidak mempunyai kuasa memudaratkan atau memberikan manfaat diri
mereka sendiri di kala hidup atau mati mereka tambahan pula
memberikan perkara seperti itu kepada orang lain.

14. Menziarahi mana-mana kubur adalah perkara yang disyariatkan
tetapi dengan caranya yang muktabar. Namun begitu, meminta
pertolongan, memanggil orang mati (walaupun siapa dia), meminta
tunaikan hajatnya dengannya secara dekat ataupun jauh, bernazar
kepada mereka, menghiaskan dan menerangkan kubur mereka,
menyapunya, bersumpah dengannya selain dari Allah dan sebagainya
dari perkara yang bid'aah, kesemuanya itu adalah perkara yang
bid'aah yang merupakan dosa besar yang wajib diperangi. Janganlah
kita mentakwilkan perkara-perkara ini kerana kita hendaklah
menyekat daripada berlakunya perkara-perkara tersebut (Saddu
al-Zaraik).

15. Doa kepada Allah yang disertai dengan tawasul dengan orang
lain adalah masalah khilaf furuk dalam masalah cara berdoa dan ia
bukannya dari masalah akidah.

16. Uruf yang salah tidak akan menukarkan hakikat lafaz syariat
bahkan kita wajib memastikannya dari hudud makna yang
dimaksudkannya dan berhenti di situ. Begitu juga wajib kita
bebaskan diri kita dari tertipu dengan kata-kata dalam setiap
aspek kehidupan dan juga agama. Pengajaran diambil daripada apa
yang dinamakan dan bukannya dan nama itu sendiri.

17. Akidah adalah asas kepada amalan dan amalan hati adalah lebih
utama dari amalan anggota lain. Mencari kesempurnaan dalam amalan
keduanya adalah dianjurkan oleh syarak walaupun terdapat perbezaan
darjah anjuran ini.

l8. Islam telah membebaskan akal dan memberi galakkan supaya
memerhatikan bumi ini. Islam juga telah mengangkat taraf ilmu dan
ulamak dan mengalu-alukan apa yang baik dan berfaedah dalam setiap
perkara. `Hikmat itu adalah perkara yang hilang dari mukminin dan
sekiranya dia menjumpainya, dialah yang paling berhak dengannya.'

19. Kadang-kala setiap pandangan syarak dan pandangan akal
menyelusup ke dalam perkara yang tidak ada pada pandangan yang
kedua tetapi keduanya ini tidak akan berselisih dalam perkara yang
pasti (qat'ie). Hakikat ilmiah yang sahih tidak akan bertembung
dengan kaedah syarak yang tetap. Perkara yang dzan (diragui)
darinya akan ditakwilkan agar bertepatan dengan perkara yang
qat'ie. Jika keduanya adalah perkara yang `dzan', maka pandangan
syarak adalah lebih utama untuk dipakai dan pandangan akal ketika
itu hanyalah untuk memastikannya sahaja ataupun dihapuskan terus.

20. Kita tidak akan mengkufurkan orang muslim yang mengikrarkan
dua kalimah syahadah, beramal dengan tuntutannya dan mengerjakan
fardhu-fardhunya, semata kerana pandangan ataupun maksiat yang
dilakukan kecualilah jika dia mengakui dengan perkataan kufur,
mengingkar perkara yang maklum dari asas yang darurat dalam agama,
ataupun mendustakan al-Quran yang jelas, atau mentafsirkannya
dengan tafsiran yang ditafsirkan sebagai kufur oleh gaya bahasa
arab, ataupun beramal dengan amalan yang tidak boleh ditakwil lagi
selain dari kufur.

Jika seorang akh itu mengetahui dinnya dengan usul-usul ini,
ketika itu dia telah mengetahui apakah makna yang dimaksudkan oleh
slogan abadinya iaitu `Al-Quran Perlembagaan Kami dan Rasul Ikutan
Kami'.

IKHLAS

Maksudnya: Bahawa seorang saudara muslim itu
menujukan segala perkataan, amalan dan jihadnya keseluruhannya
kepada Allah, mencari keredhaan dan kebaikan balasanNya, dengan
tidak melihat keuntungan, gaya, pangkat, gelaran, kemajuan ataupun
kemunduran. Dengan itu dia menjadi seorang tentera kepada fikrah
dan akidah dan bukannya tentera satu tujuan atau manfaat yang
tertentu. Allah telah berfirman yang bermaksud: "Katakanlah bahawa
sembahyangku, ibadatku, kehidupanku dan kematianku hanyalah kepada
Allah tuhan sekelian alam dan dengan itulah aku diperintah" (Surah
al-An'aam). Dengan itu juga seorang akh muslim itu dapat memahami
makna slogan abadinya iaitu: "Allah Matlamat Kami". Allahuakbar,
kepada Allah segala pujian.

AMAL

Maksudnya: Natijah dari ilmu dan ikhlas. Firman Allah
yang bermaksud: "Dan katakanlah (wahai Muhammad): "Beramallah
kamu, maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan
melihat apa yang kamu amalkan. Dan kamu akan dikembalikan kepada
(Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata,
maka Dia akan memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah
kerjakan" (Surah al-Taubah).

Peringkat amal yang diperlukan dari seorang akh yang benar
keimanannya itu adalah:

1. Memperbaiki dirinya sendiri sehingga menjadi seorang yang kuat
fizikal, berakhlak mulia, berpengetahuan tinggi, berupaya untuk
berdikari, selamat akidah, ibadat yang sahih, berjihad dengan
dirinya sendiri, menjaga masanya, teratur dalam segala urusannya
dan bermanfaat kepada selain darinya. Itulah kewajipan setiap
orang akh.

2. Membentuk rumah tangga muslim dengan membawa ahli rumahnya
menghormati fikrahnya, memelihara adab-adab Islam dalam setiap
urusan kehidupan, tepat dalam memilih isteri, mengikat isterinya
pada hak-hak dan kewajipannya, elok tarbiyah anak-anak dan
pembantu dan membesarkan mereka menurut dasar-dasar Islam. Itulah
juga kewajipan setiap orang akh.

3. Memberi petunjuk kepada masyarakat dengan menyebarkan dakwah
kebaikan, memerangi perkara keji dan mungkar, menggalakkan sifat
yang mulia, menyeru kepada kebaikan, bersegera ke arah kebaikan,
membawa pandangan umum kepada fikrah Islam dan mencelup kehidupan
umum dengan celupan dakwah Islam. Itu adalah kewajipan jemaah
sebagai pertubuhan yang beramal.

4. Membebaskan negara dari penjajahan kuasa asing bukan Islam sama
ada penjajahan itu berbentuk politik, ekonomi ataupun rohani.

5. Memperbaiki kerajaan sehingga menjadi kerajaan Islam yang
sebenarnya. Dengan itu ia dapat menunaikan tugasnya sebagai
pembantu kepada umat, buruh dan pekerja untuk kepentingannya.
Kerajaan Islam adalah kerajaan di mana anggotanya adalah muslimin
yang menunaikan fardhu-fardhu Islam dan tidak melakukan maksiat
dan ia menjalankan semua hukum dan ajaran Islam.

Tidak menjadi masalah jika kerajaan ini meminta bantuan dengan
orang yang bukan Islam ketika darurat tetapi bukan dalam jawatan
pemerintahan umum. Tidak menjadi masalah mengenai bentuk ataupun
jenis pertolongan yang diminta selagi mana ia adalah bertepatan
dengan kaedah umum dalam dasar pemerintahan Islam.

Di antara sifat kerajaan Islam adalah: Merasakan tanggung jawab
yang diletakkan kepadanya, kasihan belas kepada rakyat, berlaku
adil di kalangan manusia, cermat dalam perbelanjaan wang umum dan
berekonomi padanya.

Antara kewajipannya adalah menjaga keamanan, melaksanakan
undang-undang, menyebarkan ajaran Islam, melengkapkan kekuatan,
menjaga kesihatan, menjaga kepentingan umum, menyuburkan harta
benda dan menjaga wang negara, menguatkan akhlak yang mulia dan
menyebarkan dakwah Islamiyyah,

Antara haknya pula ketika ia telah menjalankan kewajipannya itu
adalah: Diberikan ketundukan dan kepatuhan, dibantu dengan diri
dan harta. Jika kerajaan ini tidak menjalankan kewajipannya dengan
sempurna maka ia mesti diberikan nasihat dan petunjuk, kemudiannya
dipecat dan dijauhkan jika ia tidak mengikut nasihat kerana tidak
ada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada yang
menciptanya.

6. Mengembalikan kehebatan antarabangsa kepada umat Islam dengan
membebaskan negara-negara Islam yang dijajah, menghidupkan
keagungannya, memperdekatkan peradabannya, menghimpunkan
kesatuannya sehingga membawa kepada kembalinya Khilafah Islamiyyah
yang telah hilang, dan mengembalikan kesatuan yang
diharap-harapkan.

7. Membentuk kuasa besar dunia dengan menyebarkan dakwah Islam
kepada setiap pelusuknya sehingga tidak ada lagi di sana fitnah
dan agama itu hanyalah untuk Allah. Allah Taala enggan kecuali
untuk disempurnakan NurNya (Maksud firman Allah).

Keempat-empat peringkat yang terakhir ini adalah wajib kepada
jemaah yang bersatu dan juga kepada setiap akh dengan sifatnya
sebagai anggota dalam jemaah ini. Alangkah beratnya tanggung jawab
dan alangkah besarnya misi ini. Manusia lain akan memandangnya
sebagai khayalan sementara akh muslim memandangnya sebagai hakikat
yang ingin dicapai dan dia tidak akan berputus asa. Bagi kita,
Allah adalah harapan utama kepada kita seperti mana yang
dimaksudkan oleh firman Allah dalam surah Yusuf:
"Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah
ditetapkanNya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui."

JIHAD

Maksudnya: Ia adalah satu fardhu yang
berkuatkuasa sehingga hari kiamat. Begitu juga maksud dari sabda
Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Sesiapa yang mati dan tidak
berperang dan tidak berniat hatinya untuk berperang maka dia mati
dalam keadaan mati jahiliyyah." Peringkat pertamanya adalah
mengingkari dari hati, peringkat tertingginya adalah berjihad di
jalan Allah. Antara keduanya: Jihad lidah, pena, tangan dan
perkataan yang benar kepada pemerintah yang zalim. Dakwah ini
tidak akan hidup kecuali dengan jihad. Setanding dengan ketinggian
dan keluasan ufuk dakwah ini, begitu jugalah besarnya kelebihan
jihad di jalan dakwah, mahalnya harga yang dipinta untuk
mendokongnya, besarnya balasan yang akan diberikan kepada
orang-orang yang beramal. "Berjihadlah di jalan Allah dengan
sebenar-benar jihad."

Dengan itu kamu akan memahami apakah yang dimaksudkan dengan
slogan abadi kamu: `Jihad Adalah Jalan Kami'.

TADHIYYAH

Maksudnya(pengorbanan): Mengorbankan
harta, waktu, kehidupan dan segalanya untuk mencapai matlamat yang
ingin dicapai. Tidak ada jihad di dunia ini yang tidak disertai
dengan pengorbanan. Jangan sekali-kali unsur pengorbanan ini
digugur dalam jalan fikrah ini kerana sesungguhnya di sana ada
balasan dan pahala yang besar dan indah untuknya. Sesiapa yang
berhenti dari memberikan pengorbanan maka dia adalah berdosa.
"Sesungguhnya Allah telah membeli nyawa dan harta dari mukminin."
"Katakan bahawa jika sekiranya ayah-ayah kamu dan anak-anak
kamu..." "Demikian itu kerana mereka tidak ditimpa dahaga dan
kekurangan..." "Jika kamu taat maka Allah akan memberikan kepadamu
balasan yang baik"

Dengan demikian kamu akan memahami makna slogan abadimu: `Mati
Syahid Di Jalan Allah adalah Setinggi Cita-cita'.

TAAT

Maksudnya: Mematuhi perintah dan
melaksanakannya dengan segera sama ada dalam keadaan kesusahan
ataupun kesenangan, perkara yang disukai ataupun dibenci. Ini
adalah kerana peringkat dakwah ini ada tiga peringkat:

1. Peringkat Taarif iaitu pengenalan. Ini merupakan peringkat
menyebarkan fikrah secara umum di kalangan manusia. Sistem dakwah
dalam peringkat ini adalah seperti sistem sebuah organisasi.
Peranannya adalah bekerja ke arah kepentingan umum. Wasilahnya
adalah cara nasihat menasihati, memberikan petunjuk dan di ketika
yang lain menubuhkan beberapa pertubuhan yang berfaedah dan
lain-lain wasilah yang praktikal. Setiap cabang dari Ikhwan akan
berfungsi di peringkat ini untuk menghidupkan dakwah dan diaturkan
oleh undang-undang asas yang diterangkan oleh perutusan-perutusan
Ikhwan dan majalah-majalahnya. Dakwah pada peringkat ini adalah
dakwah umum.

Setiap orang yang berkeinginan untuk memberikan sahamnya akan
berhubung dengan jemaah dalam setiap operasinya dan dia akan
berjanji untuk memelihara dasar-dasar jemaah. Taat yang mutlak
tidak lagi diwajibkan pada peringkat ini seperti wajibnya
menghormati peraturan dan dasar-dasar umum jemaah.

2. Peringkat Takwin (pembentukan). Ini dilakukan dengan memilih
unsur-unsur yang layak untuk menanggung bebanan jihad dan juga
menyatukan antara mereka. Sistem dakwah pada peringkat ini adalah
secara sufi di sudut rohani, sistem ketenteraan di sudut
praktikalnya. Slogan pada dua perkara ini (amal dan taat) adalah
dengan tidak berbelah bahagi, tidak menarik balik, tidak ragu dan
tidak merasa tertekan. Katibah-katibah Ikhwan pada peringkat ini
akan dibentuk dan akan diaturkan oleh perutusan dasar yang lalu
dan juga perutusan ini.

Dakwah pada peringkat ini adalah berbentuk dakwah khas yang hanya
akan bergabung dengannya orang yang mempunyai kesediaan sebenar
untuk menanggung bebanan jihad yang panjang yang banyak cabaran.
Petanda awal kepada kesediaan ini adalah taat yang mutlak dan
sempurna.


3. Peringkat Tanfiz (Pelaksanaan). Dakwah pada peringkat ini
adalah peringkat jihad yang tidak ada tolak ansur di dalamnya,
amalan yang berterusan dan usaha untuk sampai kepada matlamatnya,
cabaran dan bala yang hanya akan dapat disabari oleh orang yang
benar. Tidak ada yang mengimbangi peringkat ini kecuali dengan
taat yang sempurna juga. Atas perkara inilah generasi Ikhwan yang
pertama telah berbai'ah pada hari 5 Rabiul Awal 1359 hijrah.

THABAT

Maksud thabat(keteguhan): Seorang akh itu
sentiasa beramal dan berjihad dalam mencapai matlamatnya walaupun
selama mana masa yang akan dilalui sehinggalah dia berjumpa dengan
Allah sedang dia sudah mendapat satu antara dua perkara yang elok
untuknya iaitu dapat mencapai matlamatnya ataupun mati syahid pada
akhirnya. Firman Allah yang bermaksud: "Di antara orang-orang yang
beriman, ada orang-orang yang menepati apa yang mereka janjikan
kepada Allah, maka di antara mereka ada yang gugur (syahid), dan
di antara mereka ada yang menunggu giliran dan mereka tidak
mengubah janjinya) sedikitpun" (Al-Ahzab). Pada kita, masa adalah
sebahagian dari unsur rawatan. Jalan ini adalah jalan yang
panjang, peringkat yang berjauhan antara satu sama lain dan banyak
cabaran yang akan ditempuhi, namun begitu jalan ini sahajalah yang
akan menepati maksud di samping balasan dan pahala yang banyak dan
indah.

Itu adalah kerana setiap wasilah kita yang enam itu memerlukan
persediaan yang elok, menunggu peluang yang mendatang dan
ketelitian dalam pelaksanaan. Semuanya itu bergantung kepada
masanya. Firman Allah yang bermaksud: "Mereka berkata kepadanya:
Bilakah kemenangan itu, katakanlah kepada mereka semoga kemenangan
itu adalah perkara yang hampir berlaku" (Al-Israk).

TAJARRUD

Maksudku: Kamu mengikhlaskan diri kamu
untuk fikrah kamu sahaja dan tidak kepada lain-lain dasar dan
peribadi. Ini adalah kerana fikrah yang kamu bawa adalah fikrah
yang paling mulia, paling global dan tinggi. "Celupan Allah
(celupan keimanan yang sebenar kepada Allah yang telah sebati
dalam jiwa orang-orang mukmin). Dan siapakah yang lebih baik
celupannya daripada Allah?" (Al-Baqarah). "Sesungguhnya telah ada
bagi kamu contoh teladan yang baik pada Nabi Ibrahim dan mereka
yang bersamanya, ketika mereka berkata kepada kaum mereka:
"Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan apa yang kamu
sembah selain Allah, kami mengingkari kamu dan telah jelas antara
kami dengan kamu permusuhan dan kebencian selama-lamanya sehingga
kamu beriman kepada Allah sahaja..." (al-Mumtahanah). Di sisi
seorang akh itu, manusia adalah terdiri dari enam golongan: Muslim
mujahid, muslim yang menganggur, muslim yang berdosa, zimmi yang
mempunyai perjanjian, tidak berpihak kepada mana-mana pihak dan
kafir yang memerangi Islam. Setiap golongan ini ada hukum
interaksi yang khas dengannya di dalam pertimbangan Islam. Dalam
hudud pembahagian inilah, seorang peribadi ataupun sesebuah
pertubuhan dipertimbangkan sama ada untuk diberikan perkongsian
ataupun permusuhan.

UKHUWWAH

Ukhuwah ialah Persaudaraan : Hati-hati dan ruh
terikat dengan ikatan akidah. Ikatan akidah adalah ikatan yang
paling kukuh dan mahal. Persaudaraan sebenarnya adalah
persaudaraan iman dan perpecahan itu adalah saudara kepada
kekufuran. Kekuatan yang pertama kepada kita adalah kekuatan
kesatuan, tidak ada kesatuan tanpa kasih sayang. Kasih sayang yang
paling rendah adalah berlapang dada dan yang paling tinggi ialah
martabat `ithar' (melebihkan saudaranya dari dirinya sendiri).
Firman Allah yang bermaksud: "Dan sesiapa yang menjaga dirinya
dari kebakhilan, maka mereka itulah orang-orang yang berjaya"
(Al-Hasyr).

Akh yang benar dengan fikrahnya akan melihat saudaranya lebih
utama untuk diberikan perhatian dari dirinya sendiri kerana
kalaulah mereka tidak bersama dengannya pasti mereka akan bersama
dengan selain darinya. Sesungguhnya serigala akan membaham kambing
yang kesesatan. Mukmin dengan mukmin yang lain adalah seperti
sebuah bangunan yang menguatkan antara satu sama lain. "Mukminin
dan mukminat sebahagian mereka adalah pemimpin kepada sebahagian
yang lain." Inilah situasi yang perlu kita wujudkan.

THIQAH

Maksudnya: Seorang jundi itu yakin dan tenang
dengan kebolehan, keikhlasan pemimpinnya dengan keyakinan yang
mendalam yang akan melahirkan perasaan kasih, menghargai dan taat.
Firman Allah yang bermaksud: "Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)
mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan kamu
hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka,
kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka keberatan dari
apa yang kamu hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan
sepenuhnya" (An-Nisa'). Pimpinan adalah sebahagian dari dakwah dan
tidak ada dakwah tanpa pimpinan. Keyakinan yang silih berganti
antara pimpinan dengan tenteranya akan mencernakan kekuatan sistem
jemaah, mengukuhkan strateginya, kejayaannya dalam mencapai
matlamatnya dan juga kejayaannya mengatasi segala cabaran dan
kesusahan yang merintang perjalanan jemaah. "Ketaatan dan
perkataan yang baik adalah lebih utama kepada mereka..." Pimpinan
dalam dakwah Ikhwanul Muslimin mempunyai hak seperti hak bapa
kepada anaknya di sudut hubungan ruhi, hak guru dalam kepentingan
akademik, hak syeikh dalam tarbiyah ruhiyyah, hak pimpinan dalam
hukum politik umum dakwah. Dakwah kita adalah himpunan dari
makna-makna ini. Thiqah kepada pimpinan adalah segalanya dalam
usaha menjayakan dakwah ini. Oleh itu seorang akh itu hendaklah
bertanya kepada dirinya sendiri soalan-soalan ini untuk mengetahui
sejauh mana thiqahnya kepada pimpinannya:

1. Adakah dia pernah mengenali pimpinannya sebelum itu dan
mengetahui keadaan hidupnya?

2. Adakah dia yakin dengan kebolehan dan keikhlasannya?

3. Adakah dia bersedia untuk menganggap setiap arahan yang
diberikan kepadanya dari pimpinannya selain dari perkara maksiat,
sebagai arahan yang putus dan muktamad yang tidak ada perbahasan,
keraguan, tidak puas hati dan kritik selepasnya?, di samping
memberikan nasihat dan petunjuk kepada perkara yang benar?

4. Adakah dia bersedia untuk menganggap pandangannya adalah salah
dan pandangan pimpinannya adalah yang benar, jika berlaku
pertembungan arahan pimpinan dengan apa yang diketahuinya dalam
masalah ijtihadiyah yang tidak ada nas syarak?

5. Adakah dia bersedia untuk meletakkan keadaan hidupnya di bawah
kepentingan dakwah? Adakah pada pandangannya, pimpinan memiliki
haknya dalam menentukan antara kepentingan individunya dengan
kepentingan dakwah secara umum?

Dengan menjawab soalan seperti ini, seorang akh itu dapat mengukur
sejauh mana hubungannya dengan pimpinannya dan keyakinannya
kepadanya. Ini adalah kerana hati-hati manusia adalah berada di
tangan Allah dan Allah membolak balikkannya mengikut apa yang Dia
kehendaki. Firman Allah yang bermaksud: "Kalaulah kamu belanjakan
segala yang ada di bumi, nescaya kamu tidak dapat juga
menyatu-padukan di antara hati-hati mereka, akan tetapi Allah
telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia
Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana" (Al-Anfaal).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...