"Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]

Followers

Friday, August 13, 2010

Ramadhan Yang Dirindui

Daripada Ka’ab Bin Ujrah r.a., beliau berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Hadirlah ke mimbar.” Maka kami semua pun hadir.

Apabila beliau naik satu anak tangga mimbar, beliau berkata, “amin” dan apabila naik anak tangga yang kedua, beliau berkata “amin” dan apabila beliau naik anak tangga yang ketiga baginda berkata “amin.”

Apabila beliau turun, kami telah bertanya, “Ya Rasulullah! Hari ini sesungguhnya kami telah mendengar dari Tuan sesuatu yang belum pernah kami dengar.”

Beliau bersabda, “Sesungguhnya Jibril telah muncul kepadaku dan berkata : Binasalah dia yang mendapati Ramadhan tetapi belum juga diampunkan. Maka aku berkata, amin.”

“Apabila aku naik anak tangga yang kedua dia berkata : Binasalah dia yang apabila engkau disebutkan didepannya, tidak pula dia menselawatimu. Maka aku berkata, amin.”

“Apabila aku naik anak tangga yang ketiga dia berkata : Binasalah dia yang mendapati kedua-dua ibu bapanya atau salah seorang darinya telah tua tetapi mereka tidak menjadi sebab untuk dia masuk ke dalam syurga. Aku berkata “amin.”

[Riwayat Hakim dan Ibnu Hibban di dalam sahihnya]

Pengajaran yang diperoleh daripada hadis ini:


1. Bersegeralah bertaubat meminta keampunan daripada Allah SWT dan berazam untuk tidak mengulangi dosa-dosa yang telah dilakukan itu lagi.

Sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah, lagi Maha Pengampun. Tiada dosa dan kesalahan yang tidak akan diampunkan-Nya, melainkan perbuatan syirik kepada-Nya. Oleh itu, janganlah sesekali kita berasa sedih dan berputus asa terhadap-Nya. Selagi nyawa dikandung badan, selagi itulah pintu taubat masih terbuka seluas-luasnya. Sabda Nabi SAW, ertinya:

“Demi nyawaku di tangan Allah, sekiranya kamu (manusia) tidak melakukan dosa, nescaya Allah akan melenyapkan kamu dan mendatangkan satu kaum lain yang berdosa lalu mereka menyesal dan meminta keampunan Allah, kemudian Allah akan mengampunkan mereka” [Riwayat Muslim, no 2749, 4/2106]

Berkata At-Tibi : “Bukanlah hadis ini untuk menggembirakan puak-puak yang sibuk melakukan dosa sebagaimana yang disangka oleh orang-orang tertipu, tetapi sebenarnya ia bagi menjelaskan bahawa dibangkitkan para nabi bagi menhalang manusia dari terus ditutupi dosa-dosa lalu menerangkan keampunan Allah dan mendatangkan semangat ahli maksiat untuk bertaubat” [Tuhfatul Ahwazi, 7/193]

2. Perbanyakkanlah selawat ke atas junjungan mulia, Rasulullah SAW terutamanya setiap kali nama baginda SAW disebut.

Firman Allah SWT yang acapkali dilafazkan oleh para khatib di masjid-masjid ketika khutbah Jumaat;

“Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. Hai orang-orang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya. [al-Ahzab: 56]

Diriwayatkan bahawa makna selawat Allah kepada Nabi adalah pujian atas beliau di hadapan para malaikat-Nya, sedang selawat malaikat bererti mendoakan manakala selawat umatnya bererti permohonan ampun untuknya. (Demikian seperti disebutkan al-Bukhari dari Abul Aisyah).

Antara dalil-dalil lain yang berkaitan dengan keutamaan amalan berselawat ke atas Rasulullah SAW:[3]

Sabda Nabi S.A.W “ Dari Ibnu Mas’ud r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : Orang yang terdekat denganku pada hari kiamat ialah orang yang paling banyak berselawat kepadaku.” ( Hadis Riwayat At-Trimidzi )

Sabda Nabi s.a.w : “ Berselawat atas para Nabi Allah dan utusan-Nya sebagaimana kamu berselawat kepadaku kerana mereka itu sama diutuskan sebagaimana aku diutus . “ (Hadis Riwayat Ahmad & Al-Khatib )

Sabda Nabi s.a.w : “ Dari Abu Hurairah r.a berkata : Rasulullah s.a.w bersabda:Janganlah kamu jadikan kuburku sebagai tempat perayaan dan berselawatlah kepadaku , maka sesungguhnya bacaan selawatmu itu akan sampai kepadaku dimana sahaja kamu berada . “ ( Hadis Riwayat Abu Daud )

Sabda Nabi s.a.w : “ Tiada dari seseorang yang mengucapkan salam kepadaku melainkan Allah menerima ruhku sehingga aku menjawab salam kepadanya. “ ( Hadis Riwayat Abu Daud )


3. Berbaktilah kepada kedua-dua ibu bapa kita sebelum terlewat.

Hendaklah kita sentiasa mengambil berat dan menjaga hati mereka lebih-lebih lagi tatkala usia mereka semakin lanjut. Jangan sesekali kita berkasar terhadap mereka, kerana sesungguhnya tiada suatupun yang dapat kita lakukan untuk membalas jasa-jasa yang telah mereka taburkan ke atas kita. Hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya. Wa iyazubillah, jangan sesekali kita menderhaka kepada kedua-dua orang tua kita. Firman Allah SWT;

“Dan telah memutuskan Tuhanmu supaya janganlah kalian menyembah selain Dia, dan hendaklah kalian berbuat baik kepada ibu bapa kalian dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang daripada keduanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu atau kedua-duanya, maka sekali-kali janganlan engkau mengatakan “ah!” kepada kedua-duanya dan janganlah membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia (baik dan sopan). Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan, dan ucapkanlah: “Wahai Tuhanku, kasihanilah mereka keduanya sebagaimana mereka berdua mendidik aku ketika kecil” . [al-Isra`: 23-24]

Wallahu’alam…

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...