"Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]

Followers

Saturday, January 30, 2010

Budayakan Hidup Bersama Al-Quran


Di manakah Al-Quran dalam kehidupan kita seharian?

Skop membaca ini masih kecil jika dibandingkan dengan mengamalkannya. Secara logiknya, kalau membaca pun kita tidak dapat buat, apatah lagi untuk mengamalkannya?

Saya sering memuhasabah, dan apa yang saya dapat lihat ialah hari ini dalam tidak sedar kita sering silap dalam meletakkan prioriti sesuatu perkara. Kalau ditanya, boleh atau tidak kita membaca majalah, sudah tentu jawapannya boleh. Bagaimana pula dengan membaca al-quran? apatah lagi!

Tetapi, kita lebih berminat untuk membaca majalah. Hari ini, kita seharusnya koreksi kembali, bahawa salah satu punca kemaksiatan dan kemungkaran bermaharajalela di muka bumi adalah disebabkan tiadanya jiwa atau roh islam itu sendiri.

Jiwa kita kosong bahkan ianya diisi dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Contohnya, membaca majalah-majalah hiburan, menghabiskan masa ke program-program maksiat seperti konsert-kensert artis yang terang-terang telah melanggar batas-batas syara’, realiti yang tidak dapat disangkal lagi.

Perkara ini jelas menginsafkan saya. Apa tidaknya, kalau kita sanggup berkorban masa untuk perkara-perkara yang sia-sia atau lebih teruk lagi kepada perkara-perkara maksiat yang sudah tentu mendapat kemurkaan Allah s.w.t mengapa tidak kita berkorban saja masa kita untuk membaca al-quran. Ianya adalah satu sumber untuk kita mendapatkan kekuatan dari aspek kerohanian. Iya! kekuatan rohani.

Mungkin kemampuan kita tak dapat menandingi orang-orang terdahulu seperti imam As-Syafei yang mampu mengkhatamkan al-quran sebanyak dua kali sehari. Lebih mengkagumkan ialah beliau menghabiskannya di dalam solat pada bulan puasa. Subhanallah!

Hari ini kita nak baca satu ayat pun kadang-kadang susah bahkan tidak terdetik lansung dalam hati ini ada niat untuk membacanya, Nauzubillah min zalik. Kalau kita menunaikan tanggungjawab kefardhuan solat lima waktu masih lagi bernasib baik, tapi bagaimana kalau solat fardhu pun kita tidak tunaikannya. Satu ayat bahkan satu huruf pun kita tidak menyebutnya.

Inilah salah satu amalan atau cara hidup muslim yang sebenar disamping menunaikan tanggungjawab yang lain. Mungkinlah jika hendak dibandingkan dengan aktiviti-aktiviti yang lain, tak dapat untuk dibandingkan sekiranya kita mengharapkan habuan material semata-mata.

Maka, di sinilah tahap keimanan dan kepercayaan kita terhadap janji-janji Allah diuji. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak pernah mungkir janji. Bila disebut soal ganjaran atau kelebihan maka orang yang selayaknya untuk menerima ganjaran itu sudah tentu orang yang berbuat kebaikan.

Dan kelebihan orang yang bersama-sama dengan al-quran telah disebutkan oleh Rasulullah s.a.w bahawa baginda menyeru kepada kita semua supaya membaca al-quran kerana dengannya ia akan memberikan syafaat kepada kita di hari akhirat nanti.

Selain itu, Rasulullah s.a.w juga memberitahu bahwa sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-quran akan diganjari dengan satu kebaikan dan setiap kebaikan itu diganda dengan sepuluh kebaikan. Begitulah kasihnya Allah swt terhadap hambanya.

Namun, oleh sebab hati kita sudah diikat dengan habuan dunia, maka kita lupa bahkan seolah tidak mempercayai janji-janji Allah itu, hasilnya, hidup kita jauh dengan al-quran.

Persoalannya : adakah ianya ada dalam pemikiran kita tika ini? Astaghfirullah!!! Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi maha penyayang.

Sebenarnya tiada alasan untuk kita umat Islam lari daripada menunaikan tanggungjawab kita terhadap al-quran, kalau membaca itu sudah kita anggap berat apatah lagi untuk mengamalkannya. Alasan tidak pandai membaca bagi saya sudah tidak relevan lagi pada hari ini. Kalau nak seribu daya, kalau taknak beribu alasannya.

Inilah masalah yang sering kita hadapi bahkan ianya sudah menjadi satu penyakit yang sinonim dikalangan umat Islam. Mahu tapi ego, atau mahu tapi malu? Kalau marah orang memanggil kita bodoh, tapi mengapa kita tidak marah bodohnya diri kita kerana tidak mahu menjadi pandai? Fikirkan sejenak.

Tanggungjawab kita pada Al-Quran


Pertamanya, kewajipan yang patut kita tunaikan dalam hidup bersama al-quran iaitu menjadikan bacaan al-quran itu sebagai wirid harian kita. Sekurang-kurangnya ada ayat al-quran yang kita baca setiap hari. Ini lebih baik jika dibandingkan tidak ada lansung ataupun daripada lidah kita dibasahkan dengan lirik-lirik lagu yang tidak bermanfaat.

Jika mampu sekurang-kurangnya dalam masa tiga puluh hari itu kita dapat mengkhatamkan al-quran sebanyak sekali khatam. Jika kita mampu lebih dari itu lagi sekurang-kurangnya, setiap tiga hari kita khatam seperti mana yang diceritakan agaimana Rasulullah s.a.w menjawab pertanyaan Ibnu Umar tentang tempoh mengkhatamkan membaca al-quran.

Kemudian, kewajiban yang perlu kita tunaikan ialah mempelajari bacaan al-quran dengan betul. Inilah tanggungjawab kita dalam memperbaiki dan mempercantikkan bacaan kita.

Walaubagaimanapun, kita tidak diberatkan sehingga sesuatu perkara itu menjadi penghalang untuk kita membacanya.

Contohnya bagi orang yang lidahnya susah untuk menyebut atau membaca al-quran makanya Rasulullah s.a.w ada menyebutkan perihal orang yang sebegini dan baginda menyeru supaya untuk diteruskan membaca al-quran kerana bagi mereka ada ganjarannya juga.

Seterusnya, kita juga hendaklah terkesan dengan bacaan kita atau dengan kata yang lain ialah memerhati dan menyelami maksud-maksud setiap ayat yang kita baca. Kita boleh jadikan kisah bagaimana Saidina Umar sebagai contoh ikutan di mana beliau pernah tidak sedarkan diri selama sebulan kerana membaca syat yang berkaitan dengan azab Allah s.wt.

Hari ini, kita nak menangis pun belum tentu. Dan tanggungjawab kita yang seterusnya ialah kita hendaklah menjaga hafalan serta mengulang ayat-ayat al-quran yang telah dan pernah kita hafal.

Untuk akhirnya yang paling penting sekali ialah mengamalkan isi-isinya. Ketahuilah sesungguhnya al-quran itu boleh menjadi hujah bagi kita, tidak kurang juga al-quran juga boleh menjadi musuh kita di akhirat nanti. Nauzubillah min zalik.

Oleh sebab itulah, al-quran itu bukan sahaja untuk di baca semata-mata. Akan tetapi ianya perlu disertai dengan penghayatan serta perlaksanaan dan inilah yang menjadi kewajiban bagi kita semua.

Begitulah sedikit panduan serta peringatan yang boleh dikongsi bersama supaya kita ini tidak tergolong dikalangan orang-orang akan menyesal suatu hari nanti.

Remeh yang menginsafkan.

Begitulah realiti yang kita sedang lalui pada hari ini. Dalam tak sedar kita telah mengabaikan tanggungjawab yang asas sebagai umat Islam. Budaya hidup bersama al-quran. Mudah-mudahan kita membudayakan hidup kita dengannya, bukan kita membudayakan al-quran dengan hidup dan kehendak kita.

Islam itu yang seharusnya memerintah, bukan kita yang memerintah Islam sepertimana yang kita dapat lihat pada hari ini.

Wallahu ta’ala a’lam.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...