"Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]

Followers

Wednesday, October 11, 2000

KETAATAN MUTLAK HANYA UNTUK ALLAH

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah, taatilah Rasul dan pemimpin- pemimpin di kalangan kamu. Maka jika sekiranya kamu bertelingkah dalam sesuatu perkara, maka kembalilah kepada Allah dan Rasul sekiranya kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari Akhirat. Itulah penyelesaian yang sebaik-baiknya."(an-Nisa': 59)

Ayat ini seringkali dibaca oleh mereka yang mahukan supaya orang ramai mengtaati pemerintah. Maka dikerah guru-guru agama dan utaz-ustaz membaca ayat ini supaya mentaati pemerintah. Bukan sahaja di zaman kita mencapai kemerdekaan, bahkan di zaman jepun dan penjajahan Inggerispun ayat ini dibaca di negara-negara umat Islam yang ditakluki oleh komunis.

Marilah kita merenung huraian-huraian yang dibuat oleh para ulama' yang muktabar di dalam kitab-kitab tafsir yang dikarang oleh mereka di zaman masing-masing dengan cara yang ikhlas. Ayat-ayat ini merupakan satu ayat yang penting kepada umat Islam supaya mereka menyedari di samping mereka menjadi hamba-hamba Allah yang memahami tanggungjawab ketaatan dan ubudiyyah. Mereka mestilah mengikuti peraturan-peratuan dan hukum-hukum yang memberi kebaikan kepada mereka di dunia dan di akhirat.

Maka Allah SWT mengatur manusia dari segi memberi ketaatan kepada sesiapa sahaja. Kalau kita melihat ayat ini sungguh memberi makna yang besar.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah, taatilah Rasul dan pemimpin-pemimpin di kalangan kamu." (an-Nisa': 59)

Di mana ketaatan diulangi dua kali kepada Allah dan Rasul. Adapun kepada pemimpin tidak diulangi perkataan ketaatan. Ini memberi makna yang sangat besar yang perlu difahami oleh umat Islam. Maknanya ketaatan kepada Allah dan Rasul adalah mutlak, tidak berbelah bagi kerana Allah SWT itu Tuhan yang suci daripada segala sifat. Tuhan yang Maha Sempurna, Maha Adil, Maha Bijaksana dan tidak boleh dipertikaikan walaupun sedikit sama ada dalam hukum yang halus dan keras mengandungi hikmah yang memberi kebaikan kepada manusia di dunia dan di akhirat . Adapun ketaatan kepada Rasulullah SAW juga secara mutlak kerana Rasulullah SAW adalah manusia dipelihara daripada kesilapan.

Apabila melakukan kesilapan diperbetulkan dengan wahyu Allah, diberi kelebihan ilmu kepada Nabi SAW dengan dilahirkan secara mukjizat, tidak tahu membaca dan tidak tidak tahu menulis, disebut sebagai 'ummiyy'. Ia menjadi kecelaan kepada orang lain tidak kepada Nabi SAW. Adapun kepada Rasulullah SAW, ia menjadi menjadi satu mukjizat.

Walaupun Allah SWT menurunkan ayat yang pertama di dalam al-Quran berkait dengan membaca dan menulis, namun Rasulullah SAW dilahirkan dalam keadaan yang tidak tahu membaca dan menulis.dan juga dalam keadaan yatim piatu. Ayahandanya meninggal dunia, selepas itu bondanya dan diikuti datuknya.

Baginda Rasulullah SAW tidak tahu membaca dan menulis supaya menerima ilmu secara langsung daripada Allah SWT. Tidak melalui mana-mana manusia atau guru dikalangan Ahlil Kitab. Kemudian diwahyukan kepadanya dengan al-Quranul Karim, mukjizat ilmu yang tidak boleh dipertikaikan sehingga ke hari ini. Ia bertujuan untuk membuktikan bahawa al-Quran daripada Allah SWT dan nabi Muhammad adalah rasul yang dipilih oleh Allah SWT.

Sesiapa yang membaca hadith Rasulullah SAW ini dan mereka yang memahaminya Bahasa Arab akan mengetahui betapa halus balaghah, akhlak, nahu dan lain-lain yang tidak boleh dipertikaikan. Ini menunjukkan kebijaksanaan Nabi SAW adalah daripada Allah SWT dan ketaatan kepada Rasul adalah wajib dan tidak berbelah bagi.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Tidak harus bagi seseorang lelaki dan perempuan yang beriman apabila Allah dan Rasul-Nya memutuskan sesuatu perkara dalam urusan mereka lalu mereka membuat pilihan yang lain."

Ayat ini menunjukkan bahawa bahawa ketaatan kepada Allah dan Rasul adalah ketaatan yang benar. Oleh kerana itu, pendapat yang menolak hadith nabi SAW kononnya cukup dengan memakai al-Quran sahaja seperti yang ditunjukkan oleh Kassim Ahmad di Malaysia adalah pendapat yang bercanggah dengan Sunnah Rasulullah SAW kerana Allah SWT sendiri mewajibkan kita memberi ketaatan kepada Nabi Muhammad SAW.

Nabi Muhammad SAW adalah penjelas kepada hukum-hukum agama. Banyak hukum dan perkara yang ada di dalam Islam mestilah difikirkan dan dihuraikan oleh hadith Nabi SAW. Contohnya perkara yang berkait dengan sembahyang sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dirikanlah kamu akan sembahyang." (al-Baqarah:43)

Tidak dinyatakan oleh al-Quran bagaimana perbuatan sembahyang, berapa rakaat dan bilakah waktunya. Ia mestilah dihuraikan oleh hadith Nabi SAW . Begitu juga dalam perkara zakat. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Dan tunaikanlah zakat." (al-Baqarah: 43)

Ayat ini juga tidak menyatakan berapakah kadar zakat, bagaimana cara memungutnya tidak dijelaskan. Bagaimanapun ia dihuraikan oleh hadith Nabi SAW. Rasulullah SAW sendiri menyuruh umatnya bukan sahaja berpegang kepada al-Quran tetapi berpegang juga dengan ajaran yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW yang juga tidak disebut di dalam al-Quran.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Bersembahyanglah kamu sebagaimana kamu melihat aku sembahyang."

Di dalam hadith yang lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Ambillah daripada aku cara beribadat haji kamu."

Maknanya, Rasulullah SAW menyuruh para sahabat dan umatnya melihat huraian ibadat haji mengikut cara yang dilakukan oleh Nabi SAW. Apabila Rasulullah SAW menghantar Muaz bin Jabar ke negeri Yaman untuk menjadi hakim dan penasihat kepada gabenor baru, Rasulullah SAW telah menemuduga Muaz. Baginda SAW menyoal Muaz yang bermaksud:

"Wahai Muaz! Sekiranya ada apa-apa masaalah, bagaimanakah kamu akan menyelesaikannya?"

Muaz menjawab:

"Dengan al-Quran."

Rasulullah SAW bertanya lagi:

"Kalau tidak ada di dalam al-Quran?"

Muaz menjawab:

"Dengan ajaran Rasulullah SAW."

Rasulullah SAW bertanya lagi:

"Kalau tidak ada di dalam ajaranku dan berlaku masalah baru, bagaimana pula?"

Muaz menjawab:

"Saya akan berijtihad, mengkaji dan meneliti perkara berkenaan. Saya memberi pendapat bahawa saya tidak keluar daripada petunjuk Allah dan Sunnah Rasulullah SAW."

Lalu baginda SAW menepuk bahu Muaz dan bersabda yang bermaksud:

"Segala puji bagi Allah, Tuhan yang telah memberi petunjuk kepada utusan Rasulullah, apa yang diredhai oleh Rasulullah SAW."

Huraian ini menunjukkan bahawa ketaatan kepada Rasulullah SAW adalah ketaatan yang mutlak. Bagaimana pula dengan ketaatan terhadap pemimpin-pemimpin di kalangan kamu? Siapakah yang dimaksudkan dengan pemimpin-pemimpin di kalangan kamu?

Para ulama' memberi dua pendapat.

Pertama, pemimpin yang memerintah negara.

Kedua, pemimpin yang mengajar agama yang dikenali dengan ulama'.

Sama ada pemimpin-pemimpin kerajaan, masyarakat atau ulama', semuanya manusia yang tidak maksum. Manusia yang mempunyai kelemahan dan tidak dikawal oleh wahyu, maka Allah menyuruh pemimpin ini merujuk masalah mereka kepada hukum yang paling tinggi iaitu Allah dan Rasul. Allah SWT juga menyuruh pemimpin-pemimpin itu supaya bermesyuarat, berbincang dengan mereka yang berada di bawahnya. Dan mereka hendaklah melaksanakan urusan dalam masyarakat berdasarkan kepada dua perkara ini dan pemimpin-pemimpin yang mempunyai kelemahan, ada di antara mereka yang boleh diberi nasihat dan mereka menerima nasihat tersebut dengan hati terbuka.

Sementara itu, ada di antara mereka yang degil, yang tidak mahu mengikuti kebenaran walaupun dinyatakan kebenaran. Mereka menggunakan kedudukan mereka sebagai pemimpin untuk melakukan apa sahajadengan sewenang-wenangnya. Maka Allah SWT tidak menyuruh kita mentaati dalam perkara maksiat. Begitu juga, Nabi SAW melarang kita mentaati dalam perkara maksiat yang bercanggah dengan hukum Allah SWT.

Ketaatan kepada Allah dan Rasul adalah ketaatan yang baik. Ini tidak terkecuali dalam soal ketaatan kepada kedua ibu bapa. Jika sekiranya kedua ibu bapa bersungguh-sungguh menyuruh kamu menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain maka janganlah kamu mentaati mereka. Ketaatan kita kepada yang lain daripada Allah dan Rasul-Nya adalah tidak mutlak.

Hadith Rasulullah SAW menghuraikan dengan jelas yang bermaksud:

"Kita dengan dan taat selagi tidak memerintah dalam perkara maksiat. Apabila
memerintah dalam perkara maksiat maka tidak boleh dengan dan taat lagi."

Dan Allah SWT menyuruh umat Islam mempunyai satu sikap yang tegas di dalam menegakkan kebenaran walau di hadapan siapa sekalipun dan Allah menganggap ini adalah satu jihad dan perjuangan yang besar dan akan diberikan pahala yang sebesar-besarnya oleh Allah SWT. Syarak membenarkan kita berkerja menjadi pegawai, memegang jawatan sama ada di bawah kerajaan Islam atau di bawah kerajaan bukan Islam atau di bawah kerajaan yang adil ataupun di bawah kerajaan yang zalim.

Bagaimana boleh memegang jawatan di bawah pemerintah bukan Islam? Nabi SAW menyuruh bekerja dengan majikan sebelum tertegaknya negara Islam. Ini menunjukkan bahawa bekerja dibenarkan, dalam masa yang sama kita disuruh mentaati dalam perkara yang baik dan tidak dalam perkara yang jahat. Jikalau keduanya jahat, para ulama' mengatakan bahawa hendaklah memilih mudharat yang paling ringan. Umpamanya, di zaman Jepun, kalau kita tidak menjadi hakim, pihak Jepun akan mengambil alih. Umpama menjadi seorang hakim di zaman Jepun. Hukuman pertama ialah penjara dan hukuman kedua ialah bunuh. Apabila kita menjadi hakim kita boleh menjatuhkan hukuman penjarauntuk menyelamatkan daripada dikenakan hukuman bunuh. Begitu juga dengan pemerintahan yang zalim.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Jihad yang paling afdhal ialah menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang zalim."

Maksud zalim ialah meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya. Apabila ini berlaku maka menjadi tanggungjawab kita untuk memberi nasihat. Mereka yang menjadi pemimpin perlu mendengar pandangan semua, kemudian dinilai dan menerima sesuatu yang lebih baik. Inilah cara terbaik untuk membetulkan kelemahan yang wujud di dalam diri manusia.

Iman Ghazali telah membahagikan ulama' kepada dua golongan iaitu ulama' akhirat dan ulama' dunia. Ulama' akhirat ialah mereka yang bertakwa dan melaksanakan perintah Allah SWT manakala ulama dunia ialah ulama yang sanggup menjual agama untuk kepentingan dunia semata-mata.

Firmal Allah SWT yang bermaksud:

"Bacalah kisah seseorang yang diberikan kepadanya kitab Allah, lalu ia melepaskan diri daripada kitab Allah dan syaitan yang berada di belakangnya menjadi pengikut. Lalu orang yang mengetahui tentang kitab itu mengikuti hawa nafsunya. Ia merasakan bahawa ia kekal di atas muka bumi. Maka bandingannya ialah seperti anjing, apabila diberikan sesuatu ia akan menjelirkan lidahnya, kalau tidak diberikan sesuatupun ia akan menjelirkan lidahnya." (al-A'araf: 175 & 176)

Terdapat seorang ulama di zaman nabi Musa AS. Ketika Nabi Musa AS mahu melancarkan serangan ke atas Jabbarin, lalu kaum itu menemui ulama' berkenaan untuk memohon supaya ia berdoa agar usaha Nabi Musa itu terhalang. Ini kerana doa ulama' tersebut dimakbulkan Tuhan. Pada peringkat awalnya ulama' tersebut enggan berbuat demikian kerana Nabi Musa seorang nabi. Bagaimanapun mereka mencari kelemahan ulama' tersebut iaitu melalui isterinya kerana ia kalah dengan isterinya. Kaum Jabbarin menghantar perhiasan bernilai kepada isterinya melalui pintu belakang dan mengarahkan isterinya memujuk ulama' tersebut.

Akhirnya strategi Jabbarin berjaya memujuk ulama' itu berdoa untuk menghalang Nabi Musa AS dan doanya dimakbulkan Allah. Peristiwa ini menunjukkan kepada kita bahawa jika pemimpin ada kelemahan, maka ulama' juga ada kelemahan.

Dalam hal ini kita hendaklah menilai yang mana benar-benar mengikut Islam dengan pengorbanan dan tidak mengejar kepentingan diri dan ikhlas kerana Allah SWT. Ikhlas adalah sifat yang ada di dalam hati yang kita tidak mengetahuinya. Yang tahu ikhlas hanyalah Allah SWT. Kita boleh menilai tindak tanduk pengorbanannya dengan kesudahan atau kematian. Oleh itu, maka digalakkan kita membaca buku-buku yang dikarang oleh ulama'-ulama' yang beramal dengan ilmunya yang sudah meninggal dunia dan mengakhiri hayatnya dengan Islam seperti Imam Hanafi, Imam Maliki, Imam Shafie dan Imam Hambali.

Ini termasuk Imam Ghazali, Imam Nawawi dan lain-lain yang diiktiraf oleh dunia dan kitabnya berkat dibaca oleh orang Islam hingga hari kiamat. Imam Hanafi diminta memegang jawatan hakim negara tetapi enggan. Beliau kemudiannya dipenjara dan meninggal dunia. Imam Malik bin Anas diminta supaya memberi fatwa di zaman kerajaan Abbasiyah, berkenaan seorang lelaki dipaksa menceraikanisterinya. Ketika ditanya adakah sah atau tidak orang yang diceraikan dan kesetiaan yang diberi kepada yang memerintah di zaman dulu secara paksa,

Imam Malik menjawab dengan jelas menjawab tidak sah. Beliau berkata bahawa bai'ah itu adalah suatu bai'ah yang tidak sah. Jawapan beliau telah menyebabkan beliau disusahkan.

Imam Shafie menghadapi ujian yang hebat.

Imam Ahmad bin Hambal turut menghadapi ujian di zaman Khalifah al-Makmunyang menganut ajaran falsafah yang mendakwa al-Quran itu adalah makhluk. ImanAhmad bin Hambal dengan tegas mengatakan al-Quran adalah Kalam Allah yang Qadim.

Begitu juga Izzudin Abdul Salam, seorang ulama yang terkenal di Mesir yang dikenali dengan sultan para ulama', apabila beliau diminta memberi fatwa di zaman negara Islam menghadapi bencana Tartar yang menguasai Baghdad. Tartar ialah keturunan Monggol yang menguasai Baghdad, Iraq. Di Mesir, Zahir Babes yang menjadi raja pada masa itu diarah memungut cukai daripada hasil negara untuk mempertahankan negara itu kerana negara berkenaan berada dalam bahaya. Justeru itu cukai-cukai dinaikkan sehingga membebankan rakyat. Para ulama' telah dipanggil supaya memberi fatwa kerana zaman itu adalah zaman Islam dilaksanakan. Ulama'-ulama' disoal, semua ulama' menjawab dengan halus mengizinkan pemerintah menaikkan kadar cukai bagi menyediakan keperluan pertahanan kerana negara berada dalam keadaan darurat. Sementara itu Izzudin Abdul Salam mendiamkan diri. Akhirnya beliau diminta memberi pendapat.

Izzudin berkata:

"Tuanku hendaklah belanjakan kekayaan yang diambil oleh Tuanku dengan cara yang tidak betul terlebih dahulu. Jika tidak mencukupi bolehlah dinaikkan cukai daripada rakyat."

Beliau memberi jawapan yang lebih keras. Akibat daripada itu beliau dihalau daripada Mesir tetapi rakyat Mesir yang bersimpati dengan Izzudin telah keluar beramai-beramai, tidak membenarkan tindakan diambil terhadap Izzudin. Akhirnya beliau telah dipanggil semula menghadap Zahir. Lalu beliau berkata:

"Untuk mencukupi perbelanjaan negara kita, jual Zahir."

Tiada rakyat yang sanggup beli Zahir kerana kedudukannya yang tinggi maka dimerdekakan dan terus juga menjadi pemimpin tertinggi kerajaan. Dengan pendapat yang ikhlas ini, maka Allah memberkati negara Mesir. Ini adalah sejarah gemilang.

Oleh itu ketaatan kita kepada seseorang manusia selain Rasulullah SAW bergantung sejauh mana makhluk itu taat kepada Allah dan Rasulullah SAW. Allah menjelaskan lagi dengan firman-Nya yang bermaksud:

"Jika kamu bertelingkah dalam apa-apa perkara, hendaklah kembali merujuk kepada Allah dan Rasul-Nya." (an-Nisa": 43)

Perkara yang berkait dengan individu, rumah tangga, masyarakat dan negara hendaklah kembali kepada al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Maka kita menerima keputusan yang dinyatakan dan itulah sebaik-baiknya yang membawakebaikan di dunia dan akhirat. Semua masalah hendaklah dirujuk dengan kitab Allah dan sunnah Rasulullah SAW. Dan semuanya dijelaskan sama ada dalam perkara dunia ataupun di dalam perkara akhirat. Dalam perkara yang tidak ada nas al-Quran kita merujuk kepada hadith Nabi SAW. Rasulullah SAW pernah bermesyuarat dengan para sahabat baginda. Baginda mempunyai pandangan yang lain tetapi oleh kerana suara terbanyak mengatakan pandangan lain, Baginda menerima pandangan mereka. Ini berlaku dalam peristiwa Uhud.

Pernah juga satu ketika, di dalam mesyuarat yang diadakan, pandangan terbanyak (majoriti) lain, tetapi orang yang minoriti mempunyai hujah yang lebih kuat, maka Rasulullah SAW telah menerima hujah yang lebih kuat. Syura berlainan dengan demokrasi. Sistem demokrasi hanya menerima pandangan suara terbanyak sahaja. Oleh itu syura perlu dilaksanakan dalam urusan yang tidak ada nas dan tiada syura dalam perkara yang mempunyai nas.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...