"Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]

Followers

Wednesday, May 6, 2009

ISLAM JALAN PENYELESAIAN

Assalamualaikum wbt...

Muslimin sekalian!


Rasulullah SAW telah berjaya mewujudkan perpaduan di dalam erti kata yang sebenarnya di Madinah selepas berlakunya hijrah di atas asas perpaduan iman dan perpaduan Islam.

Perpaduan Islam adalah satu perintah Allah SWT yang wajib dilaksanakan dan juga merupakan satu nikmat yang besar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada umat Islam sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

"Dan ingatlah nikmat Allah kepada kamu, ketika kamu dahulunya bermusuhan, maka Allah menyatukan hati-hati kamu, maka jadilah kamu dengan nikmat itu bersaudara mara. Dan dahulunya kamu berada di tepi gaung neraka, maka Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya kepada kamu supaya kamu mendapat petunjuk."
Rasulullah SAW berjaya melahirkan perpaduan Islam yang berdasarkan kepada mengabdikan diri kepada Allah SWT. Penduduk asal Madinah, golongan Aus dan Khazraj telah disatukan oleh Rasulullah SAW, sedangkan sebelum mereka memeluk Islam, mereka berpecah dan sentiasa berperang di antara satu sama lain.

Perpaduan di antara golongan Muhajirin, iaitu golongan yang berhijrah daripada Makkah ke Madinah kerana membawa agama dan mempertahankan aqidah di dalam hati mereka, dan golongan Ansar, iaitu penduduk Madinah yang memeluk Islam, yang sanggup menggadaikan harta benda, tanah air dan nyawa mereka kepada Islam dan perpaduan itu juga dibina di atas dasar Islam, bukan di atas dasar warna kulit dan keturunan.

Muslimin sekalian!

Mereka melaksanakan perintah Allah SWT ke atas mereka:

"Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah di antara
dua saudara kamu."

Dengan berdasarkan perpaduan Islam, umat Islam dapat berdiri teguh di Madinah dan dapat menguasai negara Madinah yang di dalamnya terdiri daripada berbagai bangsa yang menganut berbagai agama. Syariat Islam dapat dilaksanakan menyebab rakyat bukan Islam boleh duduk aman di dalam Negara Islam.

Pada hari ini pula, berbagai-bagai ideologi dan fahaman yang direka oleh manusia untuk menyatupadukan sesama mereka. Ada yang berkata, perpaduan itu mestilah di atas dasar keturunan dan warna kulit. Ada yang berkata, perpaduan itu mestilah di atas dasar sempadan negeri dan negara. Ada yang berpendapat bahawa perpaduan itu mestilah di atas dasar ekonomi dan lain-lain lagi.

Semua dasar perpaduan ciptaan manusia itu tidak kekal dilaksanakan. Ini kerana manusia bukannya bahan mentah seperti kayu, batu dan besi yang boleh dilonggok dan dikumpulkan begitu sahaja, tetapi manusia adalah makhluk yang mempunyai naluri dan perasaan yang dicipta oleh Allah SWT. Maka tidak akan wujud perpaduan melainkan dengan ajaran Islam yang diturunkan oleh Allah SWT.

Tuhan yang menjadikan manusia dan Maha Mengetahui sifat-sifat dan perangai manusia. Di atas dasar Islam, umat Islam berjaya memerintah dunia beratus-ratus tahun lamanya, bermula daripada zaman Rasulullah SAW sehingga jatuhnya Kerajaan Uthmaniah di Turki pada tahun 1924 masehi. Kejatuhan umat Islam bukan kerana kelemahan umat Islam sendiri dengan sebab mereka meninggalkan ajaran Islam.

Berbeza dengan ideologi ciptaan manusia. Ideologi tersebut gagal kerana kelemahannya sendiri kerana bukan daripada Allah SWT. Lihat ideologi komunis yang diamalkan di Negara Rusia yang gagal dilaksanakan hanya beberapa puluh tahun selepas ianya diperkenalkan.

Demikianlah kegagalan ideologi komunis di Negara China dan beberapa buah lagi Negara Komunis. Demikianlah ideologi dan fahaman kapitalis di negara-negara barat juga gagal dilaksanakan. Walaupun berlaku perkembangan ekonomi dan teknologi di negara-negara barat tetapi akhlak dan budaya rakyat menjadi rosak dan manusia sudah tidak lagi mengenal Tuhan mereka.

Negara-negara maju di barat sekarang ini sedang menunggu saat kehancuran. Menjadi kewajiban kepada umat Islam untuk kembali semula kepada ajaran Islam untuk mengembalikan perpaduan dan kekuatan mereka setelah dilanda oleh berbagai-bagai bencana pada hari ini.

Selagi umat Islam tidak kembali kepada ajaran Islam, jangan diharap mereka dapat kembali kepada perpaduan dan jangan diharap mereka berjaya menyelesaikan masalah-masalah yang berlaku ke atas mereka pada hari ini. Islam adalah jalan penyelesaian segala masalah umat Islam.

Lari daripada ajaran Islam bermakna lebih menambahkan lagi masalah-masalah tersebut, bahkan akan lahir lagi masalah yang tidak terfikir oleh umat Islam.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, dan janganlah kamu mati melainkan kamu di dalam Islam. Dan berpeganglah kamu dengan tali Allah (Islam) dan jangan kamu berpecahbelah."

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...