"Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]

Followers

Tuesday, February 3, 2009

Berhati2 Dgn Kekufuran!!!

Assalamualaikum WBT...

Muslimin Sekalian!


Marilah sama-sama kita merenung dan seterusnya mengambil perhatian dan berhati-hati terhadap satu kenyataan dan pendapat yang telah diberikan oleh seorang pemimpin di negara ini, di mana kenyataan itu boleh menimbulkan keraguan terhadap Nabi Muhammad s.a.w.

Beliau membuat kenyataan bahawa Allah Taala tidak semestinya memilih Nabi Muhammad menjadi rasul, Allah Taala akan memilih orang lain sebagai rasul. Maka kita tidak perlu mengagung-agungkan Nabi Muhammad secara berlebihan.

Muslimin Sekalian!

Kenyataan ini seolah-olah membuat andaian terhadap keputusan yang telah ditetapkan oleh Allah Taala sejak dahulu lagi. Bahawa Allah Taala akan membangkitkan Muhammad s.a.w menjadi rasul akhir zaman. Kenyataan ini juga seolah-olah cuba merendahkan martabat dan kedudukan Nabi Muhammad s.a.w. di sisi umat Islam.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. menjadi rasul kerana dipilih oleh Allah Taala dan Allah Taala memilih sesiapa yang dikehendakiNya untuk menjadi rasul, tetapi bukankah keputusan Allah Taala memilih Nabi Muhammad s.a.w menjadi rasulNya disebut dan diputuskan oleh Allah Taala sejak zaman nabi-nabi yang terdahulu bermula Nabi Adam a.s lagi?

Bukankah Al-Quran sendiri menceritakan kepada kita bahawa para rasul diberitahu oleh Allah Taala bahawa nabi akhir zaman ialah Muhammad s.a.w. dan mereka memberitahu khabar berita ini kepada umat mereka.

Firman Allah Taala yang bermaksud:
"Orang-orang yang kami berikan kepada kitab (Yahudi dan Nasrani) mengenali Nabi Muhammad s.a.w. sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian daripada mereka menyembunyikan kebenaran itu, sesungguhnya mereka mengetahui."

Daripada mana ahli kitab mengetahui sifat-sifat rasulullah s.a.w ? Tentulah daripada rasul-rasul yang diutuskan oleh Allah Taala kepada mereka, di mana rasul-rasul mereka itu mendapat berita daripada Allah Taala sendiri. Dan daripada ayat ini juga menunjukkan bahawa tidak ada orang lain yang akan menjadi rasul akhir zaman melainkan Nabi Muhammad s.a.w.

Firman Allah Taala lagi yang bermaksud :
"Dan berkata Isa anak Mariam: Wahai Bani Israel, sesungguhnya aku rasul Allah yang diutuskan kepada kamu untuk membenarkan apa yang berada dihadapanku daripada kitab Taurat, dan memberi khabar gembira tentang seorang rasul yang datang selepasku yang bernama Ahmad - yakni Muhammad s.a.w "

Muslimin Sekalian!

Percaya kepada kerasulan Nabi Muhammaad s.a.w menjadi sebahagian daripada kalimah syahadah :
"TIADA TUHAN YANG DISEMBAH MELAINKAN ALLAH DAN NABI MUHAMMAD ITU PESURUH ALLAH."

Tidak percaya bahawa rasulallah s.a.w adalah pesuruh Allah Taala, atau ragu-ragu terhadapnya menyebabkan seseorang itu keluar daripada agama Islam atau dengan perkataan lain, menjadi murtad. Tugas rasulullah s.a.w disebutkan oleh Allah Taala di dalam Al-Quran yang bermaksud :


"Dialah tuhan yang mengutuskan rasulnya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar supaya memenangkannya ke atas agama-agama lain seluruhannya, walaupun dibenci oleh orang-orang musyrikin."

Allah Taala telah membuat keputusan untuk memilih Nabi Muhammad menjadi rasulnya, maka kita jangan sekali-kali membuat andaian bahawa Allah Taala berhak memilih orang lain menjadi rasul akhir zaman bukannya Nabi muhammad s.a.w.

Andaian semacam ini boleh menimbulkan keraguan dikalangan umat Islam dan sekiranya bertujuan merendah-rendahkan Nabi Muhammad s.a.w dan ajaran yang dibawa olehnya, akan merosakkan iman seseorang.

Muslimin Sekalian!

Pandangan seperti inilah yang dipegang oleh golongan anti-hadith yang menolak hadith Rasulallah s.a.w sebagai sumber hukum Islam. Mereka mahu memakai Al-Quran sahaja.

Mereka berkata : Apabila sudah ada Al-Quran maka hukum yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w tidak diperlukan lagi. Sedangkan Al-Quran sendiri menjelaskan bahawa semua yang lahir daripada perkataan Rasulullah s.a.w, atau perbuatannya atau takrirnya( yakni yang disahkan oleh Rasulullah s.a.w bahawa sesuatu itu harus dilakukan) adalah sebahagian daripada ajaran islam yang wajib diterima, kerana ianya juga datang daripada Allah Taala.

Oleh itu, Allah Taala berfirman :
"Apa-apa yang dibawa oleh rasul maka hendaklah kamu terima, dan apa-apa yang dilarang olehnya maka hendaklah kamu tinggalkan."

Haram, bahkan akan merosakkan akidah sesiapa yang mempersendakan ajaran Rasulullah s.a.w walaupun di dalam perkara sunat sahaja bukannya di dalam perkara wajib. Jangan sekali-kali kita mempersendakan Rasulullah s.a.w walaupun di dalam perkara harus dan sunat seperti memotong kuku, menyimpan janggut dan menjilat jari selepas makan, kerana ia membawa kepada merendah-rendahkan perbuatan tersebut sedangkan ianya sebahagian daripada ajaran Islam, yang sekiranya dilakukan boleh memberi pahala dan sekiranya ditinggalkan tidak membawa kepada dosa.

Sekiranya mempersendakan amalan Rasulullah s.a.w seperti berkata : Rasulallah s.a.w menyimpan janggut kerana pada masa itu tidak ada pisau cukur atau perintah perempuan menutup aurat kerana takut terkena debu padang pasir, bukannya kerana wajib, atau sebagainya akan menyebabkan sesiapa yang berkatanya rosak akidah, maka meragui kerasulan nabi Muhammad s.a.w tentu lebih membahayakan lagi.

Muslimin Sekalian!

Hendaklah kita berhati-hati pada zaman yang penuh dengan fitnah ini. Fitnah sebelum datang dajal yang sebenarnya, tetapi dipenuhi oleh dajal-dajal yang kecil dan bala tenteranya yang cuba merosakkan Iman seseorang Islam.

Wajib ke atas umat Islam belajar tentang Islam untuk menangkis keraguan-keraguan yang ditimbulkan oleh golongan ini.

"AKU BERLINDUNG KEPADA ALLAH DARIPADA SYAITAN YANG DIREJAM"

Firman Allah yang bermaksudnya :

"Sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulallah itu ikutan yang baik bagi sesiapa yang mengharapkan kepada Allah dan balasan di akhirat, serta ingatkan Allah banyak-banyak"

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...