"Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]

Followers

Thursday, December 9, 2004

Tazkirah : Antara Dua Cinta

Antara dua cinta, memang sesuatu yang merumitkan kerana kita terpaksa membuat dua pilihan. Membuat pilihan adalah satu perkara yang agak membebankan, tetapi nukilan kali ini tidak akan menyentuh agar kita memilih yang mana satu tetapi kita harus memilih kedua-duanya kerana dengan memilih keduanya kita tidak berada dalam golongan orang-orang yang rugi malah kita akan merasa lebih bahagia dan berjaya.

Antara dua cinta yang ingin disentuh di sini ialah cinta dunia dan cinta akhirat. Kita tidak boleh memilih mana-mana untuk mencintai tetapi kita harus memilih kedua-duanya dan berlaku adil padanya. Tetapi kebanyakan dari kita hari ini telah membuat pilihan untuk mencintai dunia dan melupakan akhirat. Dan ada pula segelintir yang mencintai akhirat dan tidak mempedulikan dunia. Ramai di antara kita mengimpikan rumah besar, kereta besar dan mengejar kemewahan dunia yang sementara. Tak ramai di antara kita yang mengimpikan jannatul firdaus dan taman –taman syurga yang lain yang jauh lebih baik dan kekal.

Cinta dunia hanyalah cinta yang sementara, dunia hanyalah persinggahan untuk menuju ke akhirat. Mengejar cinta dan kemewahan dunia semata tidak akan membawa kita ke mana-mana malahan ia boleh melalaikan kita untuk mencari cinta yang sebenarnya yang lebih kekal abadi. Firman Allah:

“Dan (Ingatlah) hari (ketika) orang kafir dihadapkan ke neraka (kepada mereka dikatakan):
Kamu sudah menghabiskan rezekimu yang baik dalam kehidupan duniawimu (saja) dan kamu sudah bersenang-senang menikmatinya.”
(Surah al-Ahqaf, ayat 20)

Alangkah ruginya memiliki segala kemewahan dunia tetapi setakat dirasa selama 60 tahun saja. Bahkan ketika ditanya berapa lama kamu hidup di dunia? Mereka menjawab tidak lebih daripada setengah hari saja.

Bermimpi untuk memilih rumah anda di syurga dengan amalan yang sederhana dan mudah dilakukan, seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tidaklah salah seorang kamu mengambil wuduk kemudian memperbaiki wuduknya dan mengerjakan sembahyang dua rakaat melainkan wajib baginya syurga.”
(Hadis riwayat Abu Daud, disahihkan oleh al-Albani)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...